Murid tunggang kerbau kesayangan ke sekolah setiap hari

PHETCHABURI– Setiap pagi dan petang, seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, Thanwa Thongiem atau lebih mesra dipanggil Fluke, menunggang kerbau kesayangannya yang diberi nama 'Kalamae' untuk pergi dan pulang dari Sekolah Wat Nong Som di Daerah Khao Yoi, sejauh lebih 800 meter.
Media tempatan melaporkan, amalan harian itu bukan sahaja mencuri perhatian jiran dan orang yang lalu-lalang, malah mencerminkan ikatan mesra antara seorang anak kecil dengan haiwan peliharaannya.
Fluke, murid darjah dua, mempunyai rutin sederhana sebelum menunggang Kalamae, dia akan menadah tangan memberi hormat, meletakkan kakinya pada tanduk kerbau sebelum naik dengan penuh cekap.
Setibanya di sekolah, Kalamae ditambat berhampiran kolam di pintu masuk untuk meragut rumput sehingga Fluke tamat waktu persekolahan. Apabila pulang, Fluke melepaskan ikatan dan menunggang semula Kalamae ke rumah.

Orang ramai yang melihat turut terharu dengan interaksi mesra itu apabila Kalamae sering menggeselkan kepala seakan manja pada tuannya.
Menurut ibunya, Nopparat Chuchuen, Fluke mula menunggang kerbau sejak berusia enam tahun, dan hampir dua tahun kini mereka berulang-alik bersama. Kerbau tersebut sudah terlatih serta hafal laluan, menjadikan perjalanan anaknya selamat.
Pemandangan unik Fluke bersama Kalamae bukan sahaja menggembirakan guru, pelajar serta penduduk tempatan, tetapi juga menjadi peringatan indah tentang kesederhanaan kehidupan desa dan tradisi budaya Thailand yang masih utuh. - Agensi
Ringkasan AI
- Setiap pagi dan petang, Fluke menunggang kerbau kesayangannya, Kalamae, untuk pergi dan pulang dari sekolah sejauh lebih 800 meter
- Amalan harian Fluke mencuri perhatian orang ramai dan mencerminkan ikatan mesra antara seorang anak kecil dengan haiwan peliharaannya
- Sebelum menunggang, Fluke akan memberi hormat dan naik dengan cekap menggunakan tanduk kerbau
- Kalamae ditambat berhampiran kolam di pintu masuk sekolah sehingga waktu persekolahan tamat
- Interaksi mesra antara Fluke dan Kalamae menjadi peringatan indah tentang kesederhanaan kehidupan desa dan tradisi budaya Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

