Inkues Zara Qairina: Saksi kanak-kanak keempat, kelima beri keterangan hari ini

KOTA KINABALU - Saksi kanak-kanak keempat dan kelima akan memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang didengar di Mahkamah Koroner di sini, pada Jumaat.
Prosiding yang dijalankan secara tertutup menerusi kamera itu secara keseluruhannya melibatkan seramai 35 saksi kanak-kanak yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, berkata saksi kanak-kanak ketiga telah selesai memberikan keterangan di Mahkamah Koroner pada Khamis.
“Esok (hari ini) kita akan bermula dengan saksi kanak-kanak keempat dan kelima, iaitu dua orang,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Khamis.
Sementara itu, media ketika ini masih tidak dibenarkan membuat liputan inkues berkenaan selepas mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut.
Shahlan sebelum itu turut dibantu rakan peguam lain iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser.
Inkues yang memasuki hari ke-15 itu turut mendengar keterangan daripada 25 saksi dewasa bagi mencari punca kematian pelajar Tingkatan Satu tersebut pada 17 Julai lalu.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Saksi kanak-kanak keempat dan kelima akan memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir
- Inkues ini dijalankan secara tertutup menerusi kamera dengan jumlah saksi kanak-kanak seramai 35 orang
- Peguam Shahlan Jufri mewakili ibu kepada Zara Qairina dalam prosiding ini
- Media tidak dibenarkan membuat liputan inkues ini
- Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah dan meninggal dunia di hospital keesokan harinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
