Amukan taufan Ragasa badai Asia

HONG KONG – Taufan Ragasa, yang digelar antara ribut tropika paling kuat melanda Asia baru-baru ini, menjejaskan aktiviti di selatan China selepas meninggalkan kemusnahan besar serta mengorbankan puluhan nyawa di Taiwan dan Filipina.
Ribut yang pernah dikategorikan sebagai super taufan itu membadai wilayah Guangdong dengan tiupan angin mencecah 241 kilometer sejam di bandar Chuandao, rekod tertinggi sejak pemantauan dilakukan di Jiangmen.
Agensi berita Xinhua melaporkan lebih dua juta penduduk dipindahkan di seluruh wilayah berkenaan, manakala rakaman televisyen menunjukkan pokok tumbang, bumbung tercabut serta hujan lebat yang menjejaskan jarak penglihatan.

Menurut Stesen Penyiaran Pusat (CCTV), taufan itu mula membadai pantai Hailing di bandar Yangjiang, jam 5 petang waktu tempatan pada Rabu dengan kelajuan angin 144 kilometer sejam di pusatnya.
Susulan itu, beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah Guangxi digantung dan kerajaan China menyalurkan puluhan juta dolar untuk operasi bantuan. Sekolah, kilang serta perkhidmatan pengangkutan di lebih 10 bandar turut dihentikan sementara.
Di Hong Kong, penduduk dikejutkan dengan tiupan angin kencang seawal pagi pada Rabu yang menumbangkan ratusan pokok, merosakkan bumbung jejantas dan menyebabkan banjir di kawasan tebing laut.
Gelombang setinggi tiang lampu menghentam kawasan persiaran, manakala sebuah kapal dilaporkan remuk di tepian pantai sehingga memecahkan deretan cermin penghadang.
Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 90 individu cedera dan mendapatkan rawatan di hospital.
Rakaman tular di media sosial memaparkan ombak menenggelamkan sebuah hotel, namun pihak pengurusan mengesahkan semua tetamu selamat. Beberapa restoran di persiaran turut rosak dengan perabot bertaburan dihanyutkan angin.
Di Macau, bandar perjudian terkenal itu turut lumpuh apabila jalan raya berubah menjadi aliran sungai dengan pelbagai serpihan terapung. Sekolah dan kedai ditutup, manakala ratusan orang mencari perlindungan di pusat sementara.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot getah bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap. Bekalan elektrik di beberapa kawasan rendah turut diputuskan bagi mengelak kejadian lebih buruk.
Menurut Balai Cerap Hong Kong, Ragasa memiliki kelajuan angin berterusan sekitar 195 kilometer sejam ketika melintasi 100 kilometer di selatan bandar itu.

Agensi berkenaan menyifatkannya sebagai ribut tropika terkuat di Laut China Selatan tahun ini dan kedua terkuat sejak rekod bermula pada 1950.
Di Taiwan, sekurang-kurangnya 14 maut selepas hujan lebat menyebabkan empangan kecil pecah di Hualien, mengakibatkan jambatan runtuh dan jalan raya berubah menjadi sungai deras.
Lebih 8,000 penduduk di Guangfu dipindahkan ke kawasan tinggi, manakala 32 dilaporkan cedera.
Sementara itu di Filipina, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh termasuk tujuh nelayan yang lemas selepas bot mereka diterbalikkan ombak besar di wilayah Cagayan.
Hampir 700,000 penduduk terkesan, dengan lebih 25,000 orang berlindung di pusat pemindahan kerajaan.
Dengan kekuatan luar biasa dan jejak kemusnahan yang panjang, taufan Ragasa kini dikenali sebagai antara bencana alam paling dahsyat yang melanda rantau Asia dalam dekad ini.- Agensi
Ringkasan AI
- Taufan Ragasa, ribut tropika paling kuat baru-baru ini, telah menyebabkan kemusnahan di Asia termasuk Taiwan dan Filipina
- Wilayah Guangdong di China terjejas teruk dengan angin sekuat 241 kilometer sejam
- Lebih dua juta penduduk dipindahkan di China, dan infrastruktur seperti pokok tumbang serta bumbung tercabut dilihat
- Sekolah, kilang, dan perkhidmatan pengangkutan di lebih 10 bandar di China dihentikan sementara
- Di Hong Kong dan Macau, taufan menyebabkan banjir, kerosakan harta benda, dan gangguan perkhidmatan dengan sekurang-kurangnya 90 individu cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

