Taufan Super Ragasa: Rakyat Malaysia dinasihat berwaspada di Hong Kong, Macao

KUALA LUMPUR - Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macao menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau melancong ke wilayah berkenaan supaya kekal berada di dalam bangunan dan berwaspada ketika Taufan Super Ragasa melanda kawasan itu.
Dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada Sabtu, konsulat memaklumkan bahawa amaran Taufan Tropika Isyarat No. 10 telah dikeluarkan pada 2.40 pagi (waktu tempatan), diikuti dengan Pengumuman Khas Isyarat Amaran Ribut Petir Ambar pada 2.45 pagi (waktu tempatan) di wilayah berkenaan.
"Amaran itu dijangka kekal berkuat kuasa untuk tempoh tertentu,” menurut kenyataan itu.
Konsulat juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berada di tempat selamat ketika isyarat siklon tropika T8 (atau lebih tinggi) dikeluarkan, menyimpan bekalan makanan serta keperluan penting, dan menjauhi kawasan persisiran pantai.
Rakyat Malaysia turut diingatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini jadual penerbangan, manakala mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera diminta menghubungi talian kecemasan 999 serta memaklumkan kepada konsulat melalui e-mel di mwhongkong@kln.gov.my atau WhatsApp di talian +852-6900-6390.
Konsulat turut menggalakkan rakyat Malaysia mengikuti garis panduan keselamatan tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkenaan, termasuk Balai Cerap Hong Kong (https://www.hko.gov.hk/en/index.html) dan Biro Meteorologi dan Geofizik Macao (https://www.smg.gov.mo/en). - Bernama
Dalam pada itu, Taiwan melaporkan sekurang-kurangnya 14 kematian pada Rabu akibat Taufan Ragasa yang membawa hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air melimpah daripada sebuah tasik ke kawasan penempatan berhampiran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC), tasik yang terbentuk di kawasan pergunungan Hualien selepas taufan pada Julai lepas itu melimpahkan air pada Selasa dan menenggelamkan kawasan sekitarnya. Pihak berkuasa berkata 124 penduduk di kawasan terjejas masih dilaporkan hilang.
Lebih 8,000 penduduk kampung telah dipindahkan lebih awal minggu ini ketika taufan mula menghampiri pada Isnin.
Rakaman televisyen menunjukkan arus deras memusnahkan sekurang-kurangnya sebuah jambatan, dengan penduduk memanjat kenderaan dan bangunan untuk menunggu bantuan ketika air berlumpur hitam melanda Pekan Guangfu. Jalan raya musnah akibat banjir manakala landasan kereta api turut ditenggelami air.
Di seluruh Taiwan, sekurang-kurangnya 34 orang cedera dalam insiden berkaitan taufan, menurut pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Cho Jung-tai dijadual melawat kawasan bencana di Hualien pada Rabu untuk menilai kerosakan jambatan serta memantau usaha bantuan.
Taufan Ragasa melalui berhampiran Taiwan dan Filipina antara Selasa dan Rabu, dan dijangka membadai selatan China pada Rabu dengan kategori kedua tertinggi bagi taufan.
Ahli kaji cuaca menjangka ia akan melemah ketika bergerak mengikut laluan diramalkan ke arah barat. - Bernama
Ringkasan AI
- Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macao menasihati rakyat Malaysia berwaspada ketika Taufan Super Ragasa
- Amaran Taufan Tropika Isyarat No. 10 telah dikeluarkan
- Rakyat Malaysia disarankan berada di tempat selamat dan menyimpan bekalan makanan serta keperluan
- Rakyat Malaysia yang memerlukan rawatan perubatan segera diminta menghubungi 999
- Menggalakkan rakyat Malaysia mengikuti garis panduan keselamatan tempatan dan mendapatkan maklumat daripada Balai Cerap Hong Kong dan Biro Meteorologi dan Geofizik Macao
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
