Tentera Laut Sepanyol hantar kapal perang untuk sokong misi bantuan Gaza

BRUSSELS - Sebuah kapal perang Tentera Laut Sepanyol berlepas awal pagi Jumaat dari Pelabuhan Cartagena bagi memberikan sokongan kepada flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza susulan beberapa serangan dron ke atas kapal terlibat, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Kapal Tindakan Maritim (BAM) Furor, yang membawa 46 kru, 10 anggota marin dan satu pasukan perubatan berlayar ke timur Mediterranean selepas menerima arahan daripada Kementerian Pertahanan, menurut akhbar El Pais.
Seorang penasihat undang-undang dan beberapa pegawai risikan turut menyertai misi itu.
Langkah Sepanyol ini menyusul selepas Itali menghantar sebuah frigat untuk melindungi rakyatnya yang terlibat dalam misi bantuan itu, yang membabitkan kira-kira 50 kapal dari negara seperti Itali, Greece dan Tunisia.
Sumber pertahanan memaklumkan yang kapal Furor akan berada dalam jarak radar, iaitu antara 12 hingga 24 batu nautika dari flotila, tetapi tidak akan mengiringi semua kapal itu secara langsung bagi mengelak implikasi politik. Peranan kapal itu adalah untuk memberikan bantuan jika diperlukan.
Kementerian Pertahanan Sepanyol kini sedang merangka peraturan keterlibatan bagi menentukan skop misi kapal Furor, yang dijangka sangat terhad, terutamanya berkaitan penggunaan senjata, menurut sumber Tentera Laut Sepanyol.
Kapal itu dijangka tiba di kawasan operasi berhampiran Crete antara Sabtu malam dan awal pagi Ahad.
Flotila Sumud Global, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, belayar awal bulan ini dengan matlamat memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Sempadan Gaza, di mana 2.4 juta penduduk Palestin dikenakan sekatan selama 18 tahun.
Pada Rabu, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengumumkan yang beliau akan menghantar kapal tentera laut bagi menyokong flotila itu.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini merumuskan yang Israel sedang melakukan jenayah genosid di Gaza dengan lebih daripada 65,400 orang terbunuh sejak Oktober 2023. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebuah kapal perang Tentera Laut Sepanyol berlepas dari Pelabuhan Cartagena untuk memberikan sokongan kepada flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza
- Kapal Tindakan Maritim (BAM) Furor membawa 46 kru, 10 anggota marin dan satu pasukan perubatan
- Seorang penasihat undang-undang dan beberapa pegawai risikan turut menyertai misi
- Kapal Furor akan berada dalam jarak radar dari flotila tetapi tidak mengiringi semua kapal secara langsung
- Kementerian Pertahanan Sepanyol sedang merangka peraturan keterlibatan bagi menentukan skop misi kapal Furor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
