Flotilla Sumud Global bersiap untuk belayar dari Pulau Greece menuju Gaza

ISTANBUL - Flotilla Sumud Global pada Jumaat mengumumkan yang ia sedang bersiap sedia untuk berlayar dari pesisir Pulau Crete, Greece, bagi peringkat terakhir perjalanan menuju ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Flotilla itu mengakui mengalami "halangan besar” selepas sebuah kapal utamanya mengalami kerosakan mekanikal.
"Sungguhpun begitu, peserta di atas kapal tidak gentar dan tetap komited terhadap misi ini,” menurut kenyataan mereka di media sosial.
Setiap peserta dipindahkan ke kapal lain, besar dan kecil dan membawa kepakaran pelayaran, kemahiran komunikasi dan koordinasi diplomatik mereka. Pusat operasi flotila kekal berfungsi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Wartawan Al Jazeera Hassan Masoud, yang turut berada dalam misi itu melaporkan yang enam lagi kapal dari Greece dijangka menyertai flotila dalam pelayaran ke Gaza.
Pada Khamis malam, penganjur memaklumkan ia menjangkakan bakal tiba di Gaza dalam tempoh lima hingga lapan hari.
Seorang penganjur Thiago Avila berkata Pulau Crete adalah "pelabuhan selamat terakhir” dan memberi pilihan kepada peserta untuk menyertai pasukan darat. Menurut kemas kini media sosial, tiada seorang pun peserta memilih untuk menarik diri.
Flotila Sumud Global, yang terdiri kira-kira 50 kapal memulakan pelayaran awal bulan ini dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Wilayah Gaza.
Pada pagi Jumaat, sebuah kapal perang Tentera Laut Sepanyol berlepas dari Pelabuhan Cartagena untuk memberikan sokongan kepada flotila itu, susulan serangan dron baru-baru ini terhadap semua kapal yang terlibat, menurut laporan media tempatan.
Tindakan Madrid itu menyusul selepas Kerajaan Itali menghantar sebuah frigat untuk melindungi warganya yang menyertai misi itu, yang melibatkan kapal dari negara seperti Itali, Greece dan Tunisia.
Penyiasat PBB baru-baru ini menyimpulkan yang Israel sedang melakukan jenayah genosid di Gaza, dan lebih 65,500 orang terbunuh sejak Oktober 2023.- Bernama
Ringkasan AI
- Flotila Sumud Global sedang bersiap sedia untuk berlayar dari Pulau Crete, Greece menuju ke Gaza
- Kapal utama mengalami kerosakan mekanikal namun peserta tetap komited terhadap misi
- Enam lagi kapal dari Greece dijangka menyertai flotila dalam pelayaran ke Gaza
- Flotila bertujuan memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Wilayah Gaza
- Sebuah kapal perang Tentera Laut Sepanyol berlepas untuk memberikan sokongan kepada flotila, susulan serangan dron terhadap semua kapal yang terlibat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
