Wanita MCA cadang 6 strategi utama tangani ketagihan dadah kanak-kanak

SHAH ALAM – Wanita MCA mencadangkan enam strategi utama untuk dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara bagi menangani peningkatan kes ketagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak, termasuk pelajar sekolah rendah seawal usia 10 tahun.
Timbalan Pengerusi Wanita MCA, Tee Hooi Ling berkata, cadangan itu merangkumi langkah pencegahan, pendidikan, pemulihan, penglibatan komuniti dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
Menurutnya, ini kerana ketagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak kini mencapai tahap membimbangkan, dengan sindiket semakin berani menyasarkan murid-murid melalui kaedah licik seperti menyamar dadah dalam bentuk gula-gula dan makanan ringan.
"Antara langkah yang dicadangkan ialah pelaksanaan pendidikan anti-dadah secara rasmi di prasekolah dan sekolah rendah, di samping latihan khusus kepada guru untuk mengesan tanda awal ketagihan.
"Pada masa sama, program kesedaran dan sokongan keibubapaan perlu digerakkan secara meluas, khususnya di negeri-negeri berisiko tinggi seperti Kelantan, Terengganu, Perlis serta Kedah.
"Turut dicadangkan ialah penubuhan kumpulan pemantau komuniti bagi memantau aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan, taman permainan dan berhampiran sekolah, dengan kerjasama pelbagai kementerian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini,Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi laporan kadar penagihan dadah di Malaysia meningkat 32.5 peratus, iaitu daripada 436 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2023 kepada 586 orang pada tahun 2024.
Sehingga Jun 2025, angka itu telah mencecah 396 orang, menunjukkan peningkatan yang masih berterusan.
Tambah Hooi Ling, di peringkat sekolah pula, pendekatan pemulihan dan kaunseling disarankan sebagai alternatif kepada hukuman, melalui kerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Jelasnya, tindakan undang-undang yang lebih tegas juga perlu dikenakan terhadap individu yang mengeksploitasi kanak-kanak sebagai keldai atau bahan ujian dadah.
"Perbuatan ini wajar dianggap sebagai penderaan dan kecuaian jenayah. Ia harus dihukum di bawah Akta Kanak-Kanak.
"Wanita MCA turut menekankan keperluan kepada penyelarasan nasional di antara AADK, kementerian berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan berdasarkan pelan AADK 2026–2030 bagi memastikan pelaksanaan lebih efektif," ujarnya.
Hooi Ling mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir orang dewasa yang 'menguji' dadah ke atas kanak-kanak untuk melihat kesan bahan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu jenayah tidak berperikemanusiaan serta harus dihentikan segera.
Beliau turut menegaskan tekanan hidup atau kemiskinan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk penjaga terjebak dengan penyalahgunaan dadah, apatah lagi melibatkan anak-anak sendiri.
Ringkasan AI
- Wanita MCA mencadangkan enam strategi utama untuk menangani peningkatan kes ketagihan dadah di kalangan kanak-kanak
- Cadangan tersebut merangkumi langkah pencegahan, pendidikan, pemulihan, penglibatan komuniti dan penguatkuasaan undang-undang
- Ketua Wanita MCA, Tee Hooi Ling, menekankan peningkatan pendidikan anti-dadah di prasekolah dan sekolah rendah serta latihan khusus untuk guru
- Pencadangan penubuhan kumpulan pemantau komuniti untuk memantau aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan perumahan dan sekolah
- Tekanan untuk tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap individu yang mengeksploitasi kanak-kanak dalam penyalahgunaan dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

