Demokrat rampas kuasa Kongres AS

Demokrat mencipta kejutan apabila berjaya memenangi beberapa kerusi Senat di negeri yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan.
Demokrat mencipta kejutan apabila berjaya memenangi beberapa kerusi Senat di negeri yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan.
A
A
A

WASHINGTON - Parti Demokrat dijangka merampas kawalan Kongres Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal setelah meraih 54 kerusi di Senat. Parti Republikan (GOP) pula ketinggalan dengan hanya memperoleh 41 kerusi selepas kehilangan tujuh kerusi kepada Demokrat.

Ia sekali gus menamatkan dominasi GOP dan membuka ruang kepada penentangan lebih ketara terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump menerusi keputusan diumumkan pada Rabu.

Keputusan bagi Dewan Perwakilan pula masih belum dimuktamadkan memandangkan proses kiraan masih berlangsung, namun laporan beberapa rangkaian media tempatan menunjukkan Demokrat telah meraih 225 kerusi berbanding 136 kerusi yang diperoleh lawan politiknya.

Kejayaan menguasai Senat dijangka mengubah landskap politik sepanjang baki dua tahun pentadbiran Trump selain menyukarkan usaha beliau melaksanakan agenda pemerintahannya termasuk mengekalkan pengaruh konservatif di Mahkamah Agung.

Demokrat mencipta kejutan apabila berjaya memenangi beberapa kerusi Senat di negeri yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan dan sukar ditembusi.

Di Iowa, Josh Turek menewaskan Ashley Hinson manakala Adam Hamilton berjaya merampas kerusi Senator Roger Marshall di Kansas.

Di Texas, James Talarico mengatasi Ken Paxton sementara Annie Andrews menewaskan Darline Graham di Carolina Selatan. Sherrod Brown pula merampas kerusi Senat Ohio daripada Jon Husted manakala Roy Cooper memenangi perebutan kerusi Senat yang sebelum ini kosong di Carolina Utara.

Di Georgia, Senator Demokrat, Jon Ossoff berjaya mempertahankan kerusinya selepas menewaskan Mike Collins, sekali gus menggagalkan usaha GOP merampas kerusi yang sebelum ini menjadi antara sasaran utama parti itu.

Abdul El-Sayed pula melakar sejarah apabila menewaskan pencabar Republikan, Mike Rogers, sekali gus menjadi Muslim pertama dipilih ke Senat AS.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya itu dijangka mencorakkan semula landskap politik Washington apabila Demokrat turut menunjukkan prestasi memberangsangkan hingga menggugat dominasi parti lawan yang sebelum ini memegang majoriti di dewan tersebut.

Menjelang hari pengundian, Trump turut turun berkempen di beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Republikan bagi memastikan sokongan pengundi terus memihak kepada partinya, namun usaha itu gagal membuahkan hasil.

Demokrat pula mengambil kesempatan daripada kekecewaan rakyat terhadap kegagalan Trump menangani inflasi dengan menjadikan isu kos sara hidup sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada perubahan sokongan pengundi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!