Nobel Keamanan untuk Trump?

ISLAMABAD - Pakistan mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila mengumumkan hasrat untuk mencalonkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan atas peranannya meredakan konflik antara India dan Pakistan baru-baru ini.
Cadangan itu diumumkan pada Sabtu lalu, susulan tindakan Trump mengumumkan gencatan senjata secara tiba-tiba pada Mei yang menamatkan pertempuran bersenjata selama empat hari antara kedua-dua kuasa nuklear Asia Selatan.
Islamabad memuji langkah tersebut sebagai bukti kebijaksanaan dan kecekapan diplomatik Presiden AS itu.
Namun, hanya beberapa hari selepas pengumuman tersebut, Washington melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran dan Trump terus menyatakan sokongan penuh kepada tindakan ketenteraan Israel di Genting Gaza, yang masih mencetuskan kemarahan masyarakat global.
Bekas Duta Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Maleeha Lodhi membidas cadangan itu, menyifatkan ia bertentangan dengan realiti semasa.
“Bagaimana individu yang menyokong pengeboman hospital dan masjid di Gaza boleh dianggap sebagai pencipta damai?” katanya.
Ahli politik India, Asaduddin Owaisi turut menyelar langkah Islamabad yang menurutnya "mengkhianati solidariti umat Islam", terutama selepas Trump dilihat sebagai penyokong kuat rejim Zionis serta serangan ke atas Lubnan dan Iran.
Sementara itu, beberapa penganalisis di Pakistan mempertahankan pencalonan berkenaan, dengan mendakwa ia adalah strategi diplomatik untuk menarik perhatian Trump kepada isu-isu serantau seperti Kashmir dan keselamatan Asia Selatan.
Namun begitu, tindakan itu tetap menimbulkan persoalan etika dan persepsi global. Ramai netizen di Pakistan dan dunia Islam mengecam pencalonan tersebut sebagai langkah yang hipokrit dan tidak mencerminkan penderitaan sebenar rakyat yang terjejas akibat konflik.
Trump pula dalam kenyataan media sosial menulis: “Saya takkan dapat Hadiah Nobel, tidak kira apa pun saya buat.
Sementara itu, pemerhati politik antarabangsa berpendapat bahawa pencalonan tersebut menyerlahkan ironi politik dunia moden, di mana watak paling kontroversi sekalipun boleh digilap sebagai seorang wira. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
