Pahang pertimbang saguhati khas untuk penjawat awam persekutuan

Wan Rosdy (dua dari kiri) pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja pada Selasa.
Wan Rosdy (dua dari kiri) pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja pada Selasa.
A
A
A

PEKAN – Penjawat awam persekutuan di Pahang bakal menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pemberian saguhati khas sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan tersebut kini berada pada peringkat penelitian Bahagian Kewangan Negeri bagi menentukan jumlah penerima serta implikasi kewangan sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Saya memikirkan untuk beri kepada semua penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Pahang, tetapi kerajaan negeri tidak mampu menanggung pemberian kepada semua.

“Kita belum ada keputusan muktamad, tetapi mungkin akan diberi secara token sama ada RM200 atau RM300, bergantung kepada simulasi kewangan yang akan dikemukakan kepada saya,” katanya.

Wan Rosdy menerima sijil apabila Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records melalui Program Tanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia.
Wan Rosdy menerima sijil apabila Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records melalui Program Tanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja pada Selasa.

Pada majlis itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencatat nama dalam Malaysia Book of Records melalui Program Tanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia, apabila sebanyak 20,000 pokok ditanam di Hutan Simpan Pekan.

Wan Rosdy turut memaklumkan pemberian tersebut akan menyasarkan kumpulan berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuba berlaku saksama walaupun mungkin tidak dapat adil sepenuhnya. Yang penting kita hargai perkhidmatan mereka di negeri ini.

“Sebelum ini, kerajaan negeri pernah memberi bantuan kepada doktor dan petugas Kementerian Kesihatan semasa pandemik Covid-19 sebagai menghargai pengorbanan mereka bekerja tanpa mengira masa,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, penjawat awam negeri tetap akan menerima bantuan khas kewangan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, jumlah yang akan diberikan pastinya tidak kurang daripada tahun lalu dan berkemungkinan lebih tinggi.

“Semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerana kita baru menerima kira-kira RM850 juta hasil negeri dan ada lebih kurang RM150 juta lagi yang boleh membantu kita melepasi sasaran tahun ini,” katanya.

Menyentuh mengenai kelestarian hutan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah menetapkan dasar yang mewajibkan setiap kawasan hutan simpan yang dibuka untuk pembangunan digantikan dengan keluasan sama di lokasi lain.

“Dasar ini penting bagi memastikan jumlah kawasan berhutan di Pahang tidak berkurangan walaupun ada pembangunan baharu.

“Kita telah melaksanakannya sejak dua hingga tiga tahun lalu dan ia menjadi syarat utama sebelum sebarang lesen pembangunan dikeluarkan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Penjawat awam persekutuan di Pahang bakal menerima saguhati khas dari kerajaan negeri
  • Cadangan saguhati sedang dikaji untuk menentukan jumlah penerima dan implikasi kewangan
  • Saguhati mungkin berupa token RM200 atau RM300 bergantung kepada simulasi kewangan
  • Pemberian saguhati menyasarkan kumpulan berpendapatan bawah RM3,000 hingga RM4,000
  • Penjawat awam negeri akan menerima bantuan khas kewangan tidak kurang daripada tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!