Buktikan bukan hanya penakluk Liga-M

Pasukan JDT meraikan kejayaan merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor FC, 3-0, pada perlawanan Sumbangsih 2025 di Stadium Sultan Ibrahim Ogos lalu.
Pasukan JDT meraikan kejayaan merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor FC, 3-0, pada perlawanan Sumbangsih 2025 di Stadium Sultan Ibrahim Ogos lalu.
A
A
A

SEJAK lebih sedekad lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) membina satu legasi tersendiri dalam bola sepak tempatan. Tiada pasukan lain mampu menandingi kehebatan Harimau Selatan yang merangkul 11 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain melengkapkan koleksi pelbagai piala domestik.

Dengan fasiliti bertaraf dunia, struktur pengurusan profesional serta perancangan jangka panjang yang tersusun, JDT berjaya mengangkat imej bola sepak Malaysia ke tahap baharu.

Namun, di sebalik segala dominasi tersebut, persoalan sering berlegar di bibir peminat tetap sama iaitu bilakah JDT benar-benar akan menawan pentas Asia dan bergelar ‘Raja Asia’?

Di peringkat domestik, saingan sudah menjadi terlalu mudah buat mereka apabila jurang yang semakin melebar dengan pencabar lain menyebabkan Liga-M kini seakan-akan menjadi milik mutlak JDT.

Keupayaan kewangan, kestabilan organisasi dan barisan pemain import berkualiti tinggi meletakkan Harimau Selatan jauh meninggalkan pasukan lain yang sering bergelut dengan masalah kewangan dan infrastruktur.

Dominasi yang besar ini meskipun menjadi bukti kehebatan mereka, turut menimbulkan persoalan sejauh mana ia benar-benar mengasah kemampuan JDT menghadapi cabaran lebih getir di peringkat serantau dan Asia.

Turut menjadi persoalan apabila mereka juga masih belum berjaya ‘menawan’ ASEAN.

Pertemuan dengan gergasi Thailand, Buriram United dalam aksi sulung Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) baru-baru ini sekali lagi menyaksikan mereka tumbang 1-2 di laman lawan.

Rekod tanpa kemenangan ke atas Buriram dalam empat perlawanan terakhir (dua seri, dua kalah) membuktikan Harimau Selatan masih belum dominan di rantau sendiri.

Artikel Berkaitan:

Menyorot dua musim terakhir ACLE, JDT berdepan realiti sebenar menentang gergasi Jepun, Korea Selatan dan China. Musim 2023/24 misalnya, menjadi ujian besar apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan.

Menentang Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai, JDT mencatat keputusan bercampur-campur antaranya kekalahan besar 0-5 di Jepun dan 1-3 di Korea, meskipun sempat menghadiahkan kemenangan bersejarah 2-1 ke atas Ulsan di Johor Bahru.

Akhirnya, kempen mereka terhenti awal di peringkat kumpulan.

Musim berikutnya, 2024/25 menyaksikan perkembangan lebih positif. Dalam format baharu ACLE, JDT menamatkan saingan kumpulan dengan empat kemenangan, dua seri dan dua kekalahan daripada lapan perlawanan sebelum perjalanan terhenti di peringkat 16 terakhir.

Lebih manis, mereka mencipta malam gemilang di Stadium Sultan Ibrahim dengan menundukkan Ulsan HD 3-0, Shanghai Shenhua 3-0 dan Pohang Steelers 5-2. Ini menjadi bukti bahawa di laman sendiri, Harimau Selatan mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi Asia.

Namun, kelemahan di gelanggang lawan masih menghantui. Kekalahan 1-3 kepada Gwangju FC di Korea serta keputusan seri 2-2 menentang Shanghai Port di China menunjukkan corak yang sama iaitu JDT digeruni di Johor, tetapi mudah goyah apabila beraksi di tempat lawan.

Apa kekurangan JDT? Untuk benar-benar menempatkan diri sebagai kuasa besar Asia, Harimau Selatan perlu konsisten mencatat keputusan positif di gelanggang lawan.

Ketajaman skuad juga perlu diperkukuh. Berbanding kelab gergasi Jepun, Korea atau Arab Saudi yang memiliki dua kesebelasan utama sama kuat, JDT masih bergantung kepada tonggak tertentu. Malah, kehadiran pemain bertaraf dunia yang mampu mencipta magis dalam perlawanan genting amat diperlukan.

Pemain import, pemain tempatan dan dan warisan JDT sedia ada beraksi baik, tetapi kelab-kelab lain memiliki bintang kelas dunia yang boleh mengubah keputusan hanya dengan satu sentuhan.

Namun, faktor paling penting iaitu mentaliti kerana di pentas tertinggi, sebarang kesilapan kecil atau hilang fokus mampu menghancurkan impian.

Selepas sedekad menjadi Raja Malaysia, tibalah masanya Harimau Selatan membuktikan mereka bukan sekadar penakluk Liga-M, tetapi juga mampu berdiri sama tinggi dengan kelab elit Asia lain.

* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!