Banjir di Sabah pulih, mangsa di Sarawak tidak banyak berubah petang ini

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Sabah pulih sepenuhnya, manakala jumlah mangsa di Sarawak pula dilaporkan tidak banyak berubah setakat jam 4 petang ini.
Di SABAH Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas Dewan Masyarakat Papar yang menempatkan lapan orang daripada dua keluarga ditutup pada jam 4 petang hari ini.
JPBN Sabah memaklumkan hanya mangsa tanah runtuh masih berada di pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Gawir di daerah Penampang iaitu sebanyak 82 orang daripada 20 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Sabah akan dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa tempat bermula petang hingga lewat malam ini.
Kawasan terlibat ialah Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan, pantai barat (Papar), Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran).
Di SARAWAK pula, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri meningkat kepada 17 orang daripada lima keluarga, setakat 4 petang tadi berbanding 13 orang daripada tiga keluarga yang dicatatkan pada pagi hari ini.
Berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai di stesen Long Teru dan Marudi masih berstatus bahaya, meskipun cuaca tidak hujan. - Bernama
Ringkasan AI
- Keadaan banjir di Sabah pulih sepenuhnya
- Mangsa banjir di Sabah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing
- Mangsa tanah runtuh di Sabah masih berada di pusat pemindahan
- Sabah akan dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan
- Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat setakat jam 4 petang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
