[VIDEO] Saifuddin sempat tinjau mekanisme BUDI95 di stesen minyak sebelum pengumuman

A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempat mengadakan lawatan ke salah satu stesen minyak di Cyberjaya beberapa minggu lalu bagi meninjau sendiri mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).

Lawatan itu dibuat sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengumumkan tarikh pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Beliau berpendapat inisiatif subsidi bersasar BUDI95 cukup mudah dan memberi manfaat kepada rakyat, dengan hanya perlu membawa kad pengenalan diri (MyKad) ketika mengisi minyak.

Tangkap layar hantaran dimuat naik Saifuddin di Facebook pada Isnin. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail.
Tangkap layar hantaran dimuat naik Saifuddin di Facebook pada Isnin. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail.

"Beberapa minggu lepas, saya melawat salah satu stesen minyak di Cyberjaya untuk lihat sendiri mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 di sana, sementara pengumuman tarikh pelaksanaan belum dibuat oleh Perdana Menteri.

"Mudah betul cara nak manfaatkan inisiatif ini, hanya pastikan bawa MyKad apabila mengisi minyak dan yang paling penting, pastikan cip MyKad berfungsi elok," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang akan berkuat kuasa 30 September ini.

Anwar menjelaskan, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai lebih tinggi mengikut keperluan.

Harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

 

 

Ringkasan AI

  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengadakan lawatan ke stesen minyak di Cyberjaya untuk meninjau mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95
  • Inisiatif subsidi bersasar BUDI95 memudahkan rakyat dengan hanya perlu membawa MyKad ketika mengisi minyak
  • Semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter untuk subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95
  • Pemandu e-hailing dikecualikan dari siling kelayakan dan boleh memohon untuk nilai lebih tinggi mengikut keperluan
  • Harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara, manakala bukan warganegara dikenakan harga RM2.60 seliter mulai tarikh pelaksanaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!