Sebutan semula kes Ketua Pemuda UMNO ditetapkan 10 November depan

Dr Muhamad Akmal (kanan) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Bukit Mertajam, pada Isnin.
Dr Muhamad Akmal (kanan) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Bukit Mertajam, pada Isnin.
A
A
A

 

BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 10 November depan bagi sebutan semula kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran awam.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membuat keputusan itu bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.

Peguam mewakili tertuduh, Datuk Mohd Imran Tamrin ketika ditemui berkata, prosiding hari ini merupakan sebutan pertama kes berkenaan.

“Pada sebutan pagi ini, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

“Namun, terdapat beberapa dokumen tambahan yang masih belum disediakan dan akan diserahkan pada tarikh berikutnya yang telah ditetapkan mahkamah iaitu 10 November,” katanya.

Pada prosiding lalu, Dr Muhamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.

Beliau didakwa membuat kenyataan berunsur kegusaran awam menerusi akaun Facebook miliknya pada jam 3 petang, 11 Ogos lalu.

Kenyataan itu didakwa boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding pagi tadi pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd Sham dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nor Shakila Dahari.

Manakala Dr Muhamad Akmal diwakili lima peguam termasuk Datuk Mohd Imran Tamrin,Datuk Hasnal Rezua Merican, Aizat Azam, Shahrul Shazuan dan Shakeel Saifuzzaman.

 

 

Ringkasan AI

  • Majistret Bukit Mertajam menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh
  • Keputusan ini untuk memberi ruang kepada pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan
  • Ini merupakan sebutan pertama kes tersebut
  • Dr Muhamad Akmal didakwa mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam melalui Facebook
  • Dia menghadapi hukuman penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!