Kenaikan cukai tanah bakal menghimpit rakyat - Reezal Merican

Laporan Sinar Harian pada 19 September 2025.
Laporan Sinar Harian pada 19 September 2025.
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pewartaan kawasan bandar baharu dan semakan cukai tanah di Pulau Pinang yang didakwa memberi tekanan besar kepada penduduk kampung tradisi serta kawasan luar bandar.

Ujarnya, walaupun langkah kerajaan negeri itu difahami sebagai usaha menambah hasil negeri dan memperkukuh perkhidmatan awam selepas lebih 30 tahun kadar cukai tidak disemak, namun implikasi yang ditanggung rakyat tidak boleh dipandang ringan.

“Penduduk kampung tradisi yang kini dikategorikan sebagai kawasan bandar dikenakan cukai tanah jauh lebih tinggi, ada yang meningkat lebih 100 peratus.

“Sebagai contoh, lot kediaman kampung yang sebelum ini dikenakan 22 sen semeter persegi kini meningkat kepada 70 sen semeter persegi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kenaikan mendadak itu memberi beban nyata kepada pemilik tanah berpendapatan rendah termasuk warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun.

Sehubungan itu, Reezal mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan beberapa langkah bagi meringankan beban rakyat, antaranya rebat khas berperingkat kepada pemilik tanah kampung tradisi dan golongan B40.

"Kerajaan negeri juga boleh mengadakan libat urus lebih meluas dengan penduduk melalui sesi dialog serta penyediaan simulasi kadar cukai agar rakyat jelas sebelum pelaksanaan.

"Selain itu, melaksanakan semakan semula pewartaan bandar baharu supaya kampung tradisi tidak dimasukkan secara automatik tanpa mengambil kira tahap infrastruktur dan sosioekonomi, dan kadar cukai ditentukan mengikut status pembangunan sebenar, bukannya semata-mata kerana pewartaan kawasan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan lebih realistik dan berperikemanusiaan agar matlamat meningkatkan hasil negeri dapat dicapai tanpa menekan rakyat marhaen.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya dengan pendekatan humanistik, kerajaan negeri dapat menjana hasil secara lestari tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan pewartaan kadar baharu cukai tanah bermula 1 Januari 2026, melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri selepas hampir 30 tahun tidak dikaji semula.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu dibuat selepas kadar semasa yang dikuatkuasakan sejak 1994 tidak lagi relevan dan menyebabkan hasil cukai negeri tidak meningkat dalam tempoh yang panjang.

Menurutnya, peratusan kenaikan bagi kategori perumahan untuk desa berjumlah 127.27 peratus, manakala bagi bandar 29.63 peratus.

Sementara itu, bagi kategori perindustrian pula, Kon Yeow berkata, untuk bandar kenaikan melibatkan 151.94 peratus, manakala desa 200.93 peratus.

 

 

Ringkasan AI

  • ADUN Bertam mengkritik kesan pewartaan bandar baharu dan semakan cukai tanah di Pulau Pinang kepada penduduk kampung tradisi
  • Penduduk kampung tradisi dikenakan cukai tanah jauh lebih tinggi, ada yang meningkat lebih 100 peratus
  • Kenaikan mendadak cukai memberi beban kepada pemilik tanah berpendapatan rendah dan warga emas
  • Reezal mencadangkan rebat khas untuk penduduk kampung tradisi dan golongan B40 serta libat urus lebih meluas
  • Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan pewartaan kadar baharu cukai tanah bermula 1 Januari 2026 selepas hampir 30 tahun tidak dikaji semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!