Usah terburu-buru naikkan cukai tanah, rakyat sudah terbeban

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGE TOWN – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan kadar cukai tanah sehingga mencecah 200 peratus bermula 1 Januari tahun depan.

Menurutnya, kenaikan mendadak ini bakal memberi kesan langsung kepada ratusan ribu pemilik tanah di negeri ini termasuk mereka dalam kalangan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berhujah bahawa kadar cukai tanah tidak pernah disemak selama 30 tahun, realitinya bilangan hartanah di Pulau Pinang telah berkembang pesat sepanjang tempoh tersebut, khususnya dengan pembinaan rumah bertingkat.

“Pertambahan unit hartanah ini sepatutnya telah menyumbang kepada peningkatan hasil cukai tanpa perlu melaksanakan kenaikan kadar yang begitu drastik.

“Struktur pengelasan yang digunapakai ketika ini juga menimbulkan persoalan keadilan. Mengklasifikasikan kawasan hanya sebagai bandar atau desa adalah terlalu mudah dan tidak mengambil kira realiti kehidupan masyarakat setempat.

“Ada kawasan yang masih berkarakter kampung kini diletakkan di bawah kategori bandar sekali gus mengenakan kadar lebih tinggi walaupun taraf hidup penduduknya masih sederhana,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu berkata, begitu juga dengan perbezaan antara rumah kampung, rumah kos rendah, bangunan bercampur, perniagaan dan industri, semuanya tidak wajar dipukul rata dengan kadar yang sama.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, rakyat kini sudah pun menanggung kesan daripada peluasan dan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025. Kadar cukai perkhidmatan telah dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus manakala skopnya turut diperluas.

“Walaupun barangan asas masih dikecualikan, kesan berantai kenaikan SST ini menyebabkan kos pengangkutan, pembekalan dan operasi meningkat, lalu harga barangan harian juga turut naik.

Artikel Berkaitan:

“Dengan beban cukai sedia ada, pelaksanaan kenaikan cukai tanah secara mendadak hanya akan menambahkan lagi kesempitan hidup rakyat,” tambahnya.

Justeru, Muhammad Fauzi berkata, pembangkang mendesak agar pelaksanaan kenaikan ini ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2029.

Tegasnya, kerajaan negeri perlu melakukan kajian semula secara lebih adil dan berperingkat, dengan mengambil kira perbezaan kategori hartanah serta zon bandar, pinggir bandar dan desa.

Tambah beliau, sebarang semakan semula kadar mestilah berpaksikan data sebenar, telus dalam pelaksanaannya, serta berlandaskan keadilan sosial.

“Pembangkang Pulau Pinang tidak menolak keperluan untuk menambah hasil negeri, namun ia tidak boleh dilakukan dengan cara membebankan rakyat pada waktu yang sukar ini.

“Kerajaan negeri perlu mendengar suara rakyat, menilai semula keputusan yang dibuat, dan melaksanakan pendekatan yang lebih berhati-hati, telus serta berperikemanusiaan.

“Apa sahaja langkah yang diambil mestilah menepati prinsip keadilan fiskal dan tidak menambahkan lagi penderitaan rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff bimbang dengan kenaikan kadar cukai tanah hingga 200% mulai 1 Januari
  • Kenaikan cukai tanah memberi kesan kepada ratusan ribu pemilik tanah termasuk mereka berpendapatan rendah
  • Realiti pembangunan hartanah di Pulau Pinang bertambah pesat tanpa penyemakan kadar cukai tanah selama 30 tahun
  • Pengklasifikasian kawasan sebagai bandar atau desa dipertikai kerana tidak mengambil kira realiti hidup penduduk
  • Muhammad Fauzi mendesak agar kenaikan ini ditangguhkan sehingga tahun 2029 dan dilakukan kajian semula lebih adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!