Penerus tradisi pembuatan keris

MINAT mendalam terhadap seni warisan Melayu selain tidak mahu ia hilang ditelan zaman menjadi pendorong utama buat seorang anak muda di Felda Tenang, Labis, Segamat, Johor untuk terus menghidupkan tradisi pembuatan keris.
Walaupun berdepan cabaran zaman moden, namun bagi Muhammad Nazrul Saliman, 28, dia tidak mahu melihat budaya nenek moyang ini lenyap begitu sahaja.
Baginya, keris bukan sekadar senjata atau hiasan, tetapi lambang jati diri bangsa yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kalau generasi muda tidak belajar dan meneruskan kerja ini, siapa lagi? Sayang betul kalau warisan ini nanti lenyap begitu sahaja.

“Selain itu, keris bukan sekadar besi yang ditempa, tetapi ia merupakan lambang bangsa,” kata pemegang diploma dalam bidang kejuruteraan pembuatan acuan dan logam dari Kolej Tati di Kemaman, Terengganu ini.
Pembuatan keris daripada Muhammad Nazrul agak unik kerana ia tidak menggunakan besi sebagaimana lazimnya, tetapi menggunakan batu kerikil.
Katanya, bagi menghasilkan keris dari batu kerikil ini agak rumit kerana batu kerikil tersebut perlu dihancurkan serta melalui proses peleburan dalam relau tanah sehinggalah menjadi besi.
“Kesemua kerja-kerja melebur sehinggalah menempa batu kerikil ini untuk dijadikan kerasi dilakukan di bengkel di rumah saya. Setelah menjadi besi, barulah boleh ditempa menjadi keris. Memang banyak kerja tapi hasilnya agak menarik.
“Datuk saya (sebelah ibu) di Terengganu, memang seorang pembuat keris. Dari situlah saya mula minat terhadap bidang pembuatan keris ini, tapi datuk saya gunakan besi macam biasa dan saya gunakan batu kerikil yang dibentuk menjadi keris,” kata anak sulung daripada empat beradik ini lagi.
Tambah Nazrul, buat masa ini dia menerima permintaan daripada pihak yang mahu mendapatkan bilah keris yang diperbuat daripada batu kerikil.

Biasanya permintaaan yang diterima adalah daripada individu yang merupakan peminat dan juga pengumpul keris.
“Permintaan terhadap keris batu kerikil ini memang sentiasa ada. Alhamdulillah, pendapatan sampingan yang saya terima hasil pembuatan dan penjualan keris ini agak lumayan dan mampu menyara kehidupan saya dan isteri,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah itu.
Muhammad Nazrul berkata, setiap keris yang dihasilkannya melalui proses panjang selain memerlukan disiplin yang tinggi bermula dari proses daripada peleburan, tempa berulang, hingga terbentuknya pamor iaitu corak unik pada bilah keris.
Katanya, setiap lekuk atau lok pada keris membawa falsafah tersendiri dan jumlahnya pula mesti ganjil iaitu mengikut tradisi diwariskan turun-temurun.
“Kerja menghasilkan keris bukan sekadar bakar dan ketuk, ia seni yang sarat dengan makna dan falsafah tersendiri. Sebab itulah, hulu dan sarung keris juga perlu menggunakan kayu yang terpilih. Bilah keris umpama roh dan kayu pula jiwanya.
“Justeru, saya mahu memastikan warisan ini terus hidup, bukan sekadar jadi bahan pameran di muzium semata-mata. Insya-ALLAH, selagi ada kudrat, saya mahu terus menempa keris dan menghidupkan kembali warisan nenek moyang agar generasi muda tidak melupakan seni bangsa sendiri,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Minat terhadap seni warisan Melayu mendorong Muhammad Nazrul Saliman dari Felda Tenang, Labis, Segamat, Johor menghidupkan kembali tradisi pembuatan keris
- Nazrul tidak mahu budaya nenek moyang mengenai keris lenyap ditelan zaman dan melihatnya sebagai lambang jati diri yang perlu dipelihara
- Berbeza dari kebiasaan, keris yang dibuat oleh Nazrul menggunakan batu kerikil yang dihancurkan dan dilebur menjadi besi sebelum ditempa
- Keris batu kerikil yang unik ini mendapat permintaan dari peminat dan pengumpul keris, menyumbang kepada pendapatan sampingannya
- Nazrul menekankan bahawa pembuatan keris bukan hanya seni tapi juga mempunyai falsafah tersendiri, berharap warisan ini terus hidup dan diwarisi generasi akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

