Jumlah kes Covid-19 di Thailand melebihi 400

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan peningkatan terbesar dalam jangkitan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara itu pada Sabtu dengan 89 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 411.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 51 kes baharu mempunyai kaitan dengan jangkitan sebelum ini, termasuk 32 orang yang menghadiri perlawanan utama Muay Thai di tiga stadium, 11 orang merupakan kontak rapat pesakit yang telah disahkan, enam menghadiri perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Malaysia dan dua lagi adalah pengunjung pusat hiburan.

“Sejumlah 38 kes baharu lagi membabitkan 12 orang yang kembali dari luar negara, enam merupakan kontak rapat warga asing dan 20 adalah pesakit dalam siasatan bagi sumber jangkitan virus itu.

“Setakat hari ini, sejumlah 104 kes dikaitkan dengan kluster stadium-stadium Muay Thai,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini, Thailand telah mencatat sejumlah 411 kes Covid-19 dengan satu kematian.

Thaweesilp berkata, 44 pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 366 masih menerima rawatan dengan tujuh daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Beliau menggesa orang ramai agar menangguhkan segala aktiviti sosial buat sementara dan mengamalkan penjarakan sosial bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Thailand, Dr Daniel Kertesz, memuji respons kesihatan awan Thailand yang agresif dalam mengenal pasti, mengasing, merawat dan mengesan kes-kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata WHO bimbang dengan peningkatan drastik kes jangkitan virus itu di Thailand sejak lima hari lepas.

“Apabila penularan virus Covid-19 bertambah meluas dalam komuniti, adalah lebih sukar untuk mengesan kes asal dan menyusuli semua kontak.

“Oleh itu, penjarakan sosial adalah penting dalam mengawal pandemik Covid-19 dan kerajaan hendaklah terus meningkatkan langkah berjaga-jaganya,” katanya. - Bernama