Maritim pintas bot mencurigakan, tahan lelaki bersama 48 bubu naga

Suspek bersama bubu naga yang dirampas. FOTO MARITIM
Suspek bersama bubu naga yang dirampas. FOTO MARITIM
A
A
A

KUALA KEDAH - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran meloloskan diri di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan pada Sabtu.

Bot berkenaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti perikanan haram dikesan sekitar jam 11.30 pagi ketika rondaan rutin dijalankan menerusi operasi bersepadu Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Patkor Optima Malindo Siri 32/2025.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kru bot terbabit bertindak melarikan diri ke arah daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipintas tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perikanan 1985. Turut ditemui 48 unit bubu naga yang diharamkan penggunaannya kerana berpotensi merosakkan ekosistem marin serta mengancam populasi hidupan laut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, seorang kru tempatan berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala bot bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM112,000 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan," katanya.

Jelas Noor Azreyanti, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan sehingga menjejaskan kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Maritim Malaysia patahkan cubaan bot fiber tanpa nombor pendaftaran melarikan diri di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan
  • Bot tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti perikanan haram dan dikesan semasa rondaan rutin
  • Kru bot tersebut bertindak melarikan diri tetapi berjaya dipintas oleh penguatkuasa
  • Bot beroperasi tanpa lesen sah dan menggunakan 48 unit bubu naga yang diharamkan
  • Seorang kru tempatan ditahan disyaki mengendalikan bot tanpa lesen dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!