Tiga jeti nelayan digempur, peralatan haram tangkap ikan dirampas

Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR
Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR
A
A
A

SABAK BERNAM - Peralatan menangkap ikan haram iaitu rawa sorong dan bubu naga selain vesel bernilai RM97,000 dirampas menerusi serbuan di tiga jeti di sini baru-baru ini.

Op Hurricane Bersepadu selama dua hari bermula Selasa itu diketuai Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Selangor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.

Seramai 50 anggota penguat kuasa daripada ketiga-tiga agensi terlibat merangkumi pergerakan darat dan laut secara serentak bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan di lapangan.

Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR
Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi terbabit merupakan langkah proaktif dalam memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.

Menurutnya, operasi di Bagan Nakhoda Omar merampas tujuh unit vesel enjin rotor beserta rawa sorong, manakala empat set peralatan rawa sorong dirampas Jeti Nelayan Sungai Nipah serta 450 unit bubu naga di Bagan Parit Baru.

"Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM97,000.

"Kesemua barang sitaan telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317]," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebarang aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang dilarang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam kelestarian ekosistem laut dan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Jelasnya, antara objektif Op Hurricane Bersepadu ialah mencegah dan membanteras penggunaan peralatan menangkap ikan yang dilarang, menyita vesel serta peralatan yang melanggar peruntukan undang-undang serta memperkukuh kerjasama strategik antara DOF, Maritim Malaysia dan PPM.

Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR
Operasi bersepadu menggempur jeti nelayan di sekitar Sabak Bernam dengan rampasan peralatan menangkap ikan haram. Foto DOF SELANGOR

"Penguatkuasaan undang-undang perikanan dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, kaum atau latar belakang.

"Mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peraturan tetap akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 (Pindaan 2024).

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!