KKM perkenal inisiatif Healthy Living Mall sempena BMSS 2025

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenal inisiatif baharu, Pusat Beli-Belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat atau Healthy Living Mall bersempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2025.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang memberi penekanan kepada penglibatan aktif sektor komersial dalam mempromosikan budaya hidup sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sebagai strategi penting untuk mendekatkan rakyat dengan amalan gaya hidup sihat dalam rutin harian.

Dr Dzulkefly merasmikan sambutan BMSS peringkat kebangsaan 2025 di AEON Mall AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dr Dzulkefly merasmikan sambutan BMSS peringkat kebangsaan 2025 di AEON Mall AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Sebanyak 28 AEON Mall di seluruh negara telah terlibat dalam Cabaran Mall Walking bagi menggalakkan pengunjung AEON Mall aktif dalam mencapai 10,000 Langkah dan sekaligus mencipta rekod The Malaysia Book of Records, Most Steps Accumulated In a Shopping Centre Walking Campaign.

Ia memberi peluang kepada rakyat untuk kekal aktif sambil membeli-belah bersama keluarga.

"Sambutan BMSS yang dilancarkan peringkat kebangsaan tahun ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya peringatan berterusan tentang kepentingan budaya hidup sihat sepanjang tahun.

"Bulan September ini bukan hanya sebulan dalam setahun kita beri perhatian, tetapi ia diangkat sebagai peringatan untuk diteruskan dalam bulan-bulan yang lain," katanya selepas merasmikan sambutan BMSS peringkat kebangsaan 2025 di AEON Mall AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah Dr Dzulkefly, tahap celik kesihatan rakyat Malaysia merupakan cabaran besar dihadapi negara ini kerana masih rendah.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, sepertiga rakyat Malaysia berada pada tahap rendah dalam celik kesihatan manakala hanya kira-kira 25 peratus sahaja yang boleh dianggap cemerlang.

"Malangnya, pengetahuan ini belum sepenuhnya diterjemahkan kepada penghayatan budaya hidup sihat.

"Berdasarkan Malaysia Healthy Lifestyle Index, skor rakyat Malaysia menunjukkan, 39 peratus berada pada tahap rendah, 29 peratus sederhana dan hanya 32 peratus pada tahap tinggi. Angka ini sangat membimbangkan kerana ia menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan negara," tambah beliau.

Menurut Dr Dzulkefly, BMSS perlu menjadi medan untuk menyatukan seluruh masyarakat bukan sahaja kementerian atau kerajaan semata-mata, tetapi sebagai usaha bersama seluruh rakyat.

"Kita mahu rakyat bermula dengan celik kesihatan, kemudian membudayakan hidup sihat.

"Ia merangkumi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, mengelakkan cara hidup sedentari serta memanfaatkan ruang seperti pasaraya untuk mengeratkan hubungan keluarga sambil kekal sihat," katanya.

Beliau turut menyeru supaya aktiviti untuk mencegah tingkahlaku sedentari seperti X-Break iaitu senaman ringkas dan regangan diamalkan di mana sahaja, termasuk di pejabat, sekolah dan rumah selepas duduk dalam tempoh melebihi 2 jam.

Dr Dzulkefly turut yakin dengan pendekatan baharu dan penggemblengan tenaga bersama, Malaysia mampu melahirkan masyarakat yang lebih celik kesihatan, aktif dan sejahtera.

“BMSS adalah peringatan dan seruan untuk kita semua, agar kesedaran kesihatan diterjemahkan kepada budaya hidup yang kekal sihat demi masa depan negara," katanya.

Ringkasan AI

  • Kementerian Kesihatan Malaysia memperkenal Pusat Beli-Belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat bermula Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera 2025
  • Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menggalakkan penglibatan sektor komersial dalam budaya hidup sihat
  • Sebanyak 28 AEON Mall terlibat dalam Cabaran Mall Walking untuk menggalakkan pengunjung mencapai 10,000 Langkah
  • Bulan Malaysia Sihat Sejahtera merupakan peringatan berterusan setiap tahun tentang kepentingan budaya hidup sihat
  • Tahap celik kesihatan di Malaysia masih rendah dengan hanya kira-kira 25 peratus rakyat Malaysia yang dapat dianggap cemerlang dalam celik kesihatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!