Tiada muzik untuk genosid: 400 artis dunia sertai boikot Israel

Keadaan di Gaza semakin buruk membuatkan dunia mula membuka mata untuk saling membantu dan `memulakan seruan boikot ke atas Israel.-Agensi
Keadaan di Gaza semakin buruk membuatkan dunia mula membuka mata untuk saling membantu dan `memulakan seruan boikot ke atas Israel.-Agensi
A
A
A

LONDON - Lebih 400 artis dan penyanyi terkenal seluruh dunia mengambil langkah drastik dengan menyertai boikot budaya terhadap Israel, berikrar menarik muzik mereka dari platform penstriman digital Israel sebagai protes terhadap genosid yang berterusan di Gaza.

Inisiatif bertemakan “No Music for Genocide” atau “Tiada Muzik untuk Genosid” ini menyeru artis-artis menolak platform Israel sebagai simbol penentangan terhadap kekejaman yang menimpa rakyat Palestin, terutama kanak-kanak yang menderita akibat kelaparan di tengah serangan berterusan Israel.

Antara nama besar yang menyertai termasuk Massive Attack (UK), Primal Scream (Scotland), Japanese Breakfast (AS), penyanyi-penulis lagu Carole King, bintang pop Jepun Rina Sawayama, dan artis Denmark MØ.

Penganjur berkata, boikot ini bertujuan memberi tekanan kepada syarikat rakaman gergasi seperti Sony, Universal, dan Warner, mencontohi tindakan mereka terhadap Rusia selepas pencerobohan Ukraine.

“Budaya tidak mampu menghentikan bom, tetapi ia boleh menolak penindasan, mengubah pendapat awam ke arah keadilan, dan menolak normalisasi jenayah kemanusiaan,” menurut kenyataan rasmi berkenaan pada Jumaat.

Boikot ini sebahagian daripada gelombang protes budaya, seni, dan sukan global terhadap serangan Israel di Gaza. Malah, Anugerah Emmy baru-baru ini turut menjadi platform menyuarakan solidariti apabila pelakon memakai simbol protes, termasuk pin merah Artists4Ceasefire dan keffiyeh.

Pelakon Sepanyol Javier Bardem menegaskan beliau menandatangani ikrar bersama lebih 4,000 pembuat filem lain untuk tidak bekerjasama dengan institusi Israel selagi konflik berterusan, sambil berjanji tidak akan terlibat dengan produksi yang gagal mengecam genosid Gaza. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lebih 400 artis dan penyanyi dunia menyertai boikot terhadap Israel untuk protes genosid di Gaza dengan menarik muzik dari platform penstriman digital Israel
  • Inisiatif "No Music for Genocide" menyeru artis tolak platform Israel sebagai simbol penentangan kekejaman terhadap rakyat Palestin
  • Antara yang menyertai termasuk Massive Attack, Primal Scream, Japanese Breakfast, Carole King, Rina Sawayama, dan MØ
  • Boikot bertujuan memberi tekanan kepada syarikat rakaman besar seperti Sony, Universal, dan Warner dengan meniru tindakan mereka terhadap Rusia pasca pencerobohan Ukraine
  • Boikot ini adalah sebahagian dari gelombang protes budaya global terhadap serangan Israel di Gaza, termasuk pelakon yang memakai simbol protes di Anugerah Emmy

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!