Billie Eilish, Benedict Cumberbatch sertai konsert UK, kumpul lebih RM8.5 juta untuk Palestin

Billie Eilish semasa membuat persembahan. Foto Agensi
Billie Eilish semasa membuat persembahan. Foto Agensi
A
A
A

LONDON – Bintang pop antarabangsa Billie Eilish, pelakon terkenal Benedict Cumberbatch dan Florence Pugh antara selebriti ternama yang menyertai konsert amal “Together For Palestine” di Wembley, United Kingdom yang berjaya mengumpul dana sebanyak 1.5 juta pound sterling (GBP), (RM8.5 juta).

Konsert selama empat jam itu dianjurkan penerbit muzik tersohor, Brian Eno pada Rabu lalu ketika lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Britain.

Acara itu berlangsung ketika kerajaan UK dijangka menyertai senarai negara yang bakal mengiktiraf secara rasmi penubuhan negara Palestin.

Eilish bersama abangnya, Finneas, tampil dalam video promosi bersama beberapa artis lain. Sementara itu, Cumberbatch naik ke pentas membacakan puisi karya penyair Palestin, Mahmoud Darwish, dengan mengubah sedikit salah satu baris yang merujuk kepada isu syahid.

Pentas konsert turut dihiasi persembahan artis terkenal antaranya Neneh Cherry, Jamie xx, Gorillaz, Hot Chip, Bastille dan King Krule, selain penyertaan doktor serta sukarelawan Palestin.

Turut hadir ialah Francesca Albanese, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin.

Menurut penganjur, dana kutipan tersebut disalurkan kepada beberapa badan kebajikan termasuk Palestinian Children’s Relief Fund, Palestinian Medical Relief Society dan Taawon.

Acara itu juga menjadi antara platform terbaharu penggiat seni antarabangsa menyuarakan bantahan terhadap tindakan Israel di Gaza, selepas festival muzik Glastonbury turut mencetuskan kontroversi apabila penonton melaungkan slogan anti-Israel.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Bintang pop antarabangsa Billie Eilish, pelakon terkenal Benedict Cumberbatch dan Florence Pugh antara selebriti ternama yang menyertai konsert amal "Together For Palestine" di Wembley, United Kingdom yang berjaya mengumpul dana sebanyak 1.5 juta Pound Sterling
  • Konsert selama empat jam itu dianjurkan oleh penerbit muzik tersohor, Brian Eno, ketika lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Britain
  • Acara ini berlangsung ketika kerajaan UK dijangka menyertai senarai negara yang bakal mengiktiraf secara rasmi penubuhan negara Palestin
  • Dana kutipan disalurkan kepada badan kebajikan termasuk Palestinian Children's Relief Fund, Palestinian Medical Relief Society dan Taawon
  • Acara ini juga menjadi antara platform terbaharu penggiat seni antarabangsa menyuarakan bantahan terhadap tindakan Israel di Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!