Gangguan rangkaian Optus ragut tiga nyawa di Australia

SYDNEY - Tiga orang dilaporkan maut di Australia selepas gangguan teknikal rangkaian Optus menjejaskan talian kecemasan triple zero (000), lapor portal Independent.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Optus, Stephen Rue, masalah itu berlaku ketika kerja-kerja penaiktarafan rangkaian pada Khamis lalu yang menjejaskan kira-kira 600 pelanggan di Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara.
Katanya, pemeriksaan kebajikan menemui tiga individu meninggal dunia di kediaman masing-masing, di mana terdapat cubaan menghubungi talian kecemasan, dan siasatan masih dijalankan pihak berkuasa.
“Saya memohon maaf kepada semua pelanggan yang tidak dapat menghubungi perkhidmatan kecemasan ketika mereka sangat memerlukannya.
“Saya juga merakamkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. Apa yang berlaku sama sekali tidak boleh diterima, kami telah mengecewakan anda,” katanya.
Optus, yang dimiliki oleh Singapore Telecommunications, memaklumkan kerosakan tersebut telah diperbaiki dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan.
Insiden itu berlaku kurang daripada setahun selepas Optus didenda A$12 juta (RM37.4 juta) oleh pihak berkuasa kerana gagal menyediakan perkhidmatan panggilan kecemasan semasa gangguan rangkaian seluruh negara pada 2023.
Syarikat telekomunikasi itu sebelum ini turut berdepan serangan siber pada 2022 yang menjejaskan data sekitar 9.5 juta pengguna di Australia, selain gangguan besar pada 2023 yang membawa kepada peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Kelly Bayer Rosmarin.
Ringkasan AI
- Tiga orang maut di Australia kerana gangguan teknikal pada talian kecemasan triple zero akibat kerja-kerja penaiktarafan rangkaian Optus
- Masalah tersebut menjejaskan kira-kira 600 pelanggan di Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara
- Pemeriksaan kebajikan menemui tiga individu meninggal di kediaman masing-masing dengan cubaan menghubungi talian kecemasan
- CEO Optus, Stephen Rue, memohon maaf dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa
- Optus didenda A$12 juta selepas gagal menyediakan perkhidmatan panggilan kecemasan semasa gangguan rangkaian pada 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

