Trak pikap hilang kawalan punca nahas ragut satu nyawa, 13 cedera

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai kemalangan mengorbankan seorang lelaki di Machang.
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai kemalangan mengorbankan seorang lelaki di Machang.
A
A
A

MACHANG - Kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki dan 13 cedera di Jalan Machang-Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah di sini dipercayai berpunca daripada sebuah trak pikap yang telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua buah kereta lain pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati trak pikap jenis Chevrolet yang dinaiki lima individu itu dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

"Kereta jenis Proton Waja pula dinaiki enam individu dari arah Pasir Puteh menghala ke Machang.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, trak pikap terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, pada masa yang sama datang kereta jenis Perodua Kancil dinaiki tiga individu dan berada di belakang Proton Waja tersebut sehingga tidak sempat mengelak mengakibatkan berlaku pelanggaran kedua-dua buah kenderaan tersebut.

Ujarnya, akibat daripada kemalangan itu, pemandu Proton Waja meninggal dunia di lokasi manakala 13 lagi cedera.

Ahmad Shafiki memberitahu, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Machang dan Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dan boleh berhubung terus di talian 011-1454020 atau 09-9751222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu Sinar Online melaporkan seorang lelaki maut manakala 13 lagi penumpang cedera selepas tiga kenderaan dipercayai bertembung dalam kejadian di Jalan Machang-Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah pada Ahad malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, mangsa, Zulkifli Salleh, 54, maut di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!