Penganggur hina polis di FB ditahan

Suspek ditahan di rumahnya dekat Kampung Bok Bak, Kupang, Baling tengah hari tadi.
Suspek ditahan di rumahnya dekat Kampung Bok Bak, Kupang, Baling tengah hari tadi.
A
A
A

BALING - Seorang penganggur ditahan kerana didakwa menghina dan memfitnah anggota polis yang sedang melaksanakan tugas Perintah Kawalan Pergerakan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Kampung Bok Bak, Kupang pada jam 12 tengah hari selepas dikesan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis menerusi Facebook miliknya.

Menurutnya, kenyataan yang dimuatnaik suspek dikesan pada jam 10.05 malam kelmarin.

"Walaupun kenyataan tersebut telah dipadam namun polis telah menerima salinan tangkap layar kenyataan itu yang membolehkan siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Syed Basri berkata, tindakan suspek didakwa berniat menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia amnya dan imej anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling khasnya yang sedang melakukan penugasan sekatan jalan raya seperti Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta342) serta Langkah-Langkah Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

"Permohonan reman akan dilakukan esok (hari ini) di mahkamah mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan," kata beliau.

Syed Basri berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan: