Empat motosikal kuasa tinggi terbabit nahas di Tapah

Empat motosikal berkuasa tinggi antara tujuh kenderaan terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 340.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah pada Jumaat. Foto: IPD Tapah
Empat motosikal berkuasa tinggi antara tujuh kenderaan terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 340.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah pada Jumaat. Foto: IPD Tapah
A
A
A

TAPAH - Empat penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Indonesia yang sedang berkonvoi terbabit dalam satu kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 340.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang penunggang wanita berusia 41 tahun cedera di bahagian kaki kanan, manakala tiga rakannya tidak mengalami kecederaan.

Kesemua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Ducati Monster, Yamaha Tracer, Yamaha Aveta dan BMW C400 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk bercuti.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila motosikal ditunggang wanita terbabit bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander.

“Akibat geselan itu, motosikal tersebut terjatuh dan menyebabkan tiga lagi penunggang dalam konvoi gagal mengelak lalu turut terbabas," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pada masa sama sebuah kereta Proton Saga yang berada di lorong kiri cuba berhenti selepas melihat kejadian, namun sebuah treler dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit terseret ke hadapan dan melanggar keempat-empat motosikal yang sudah terjatuh di atas jalan," jelasnya.

Menurut Johari, penunggang wanita yang cedera di kaki kanan telah dihantar ke Hospital Tapah sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur atas permintaan mangsa.

"Tiga lagi penunggang masing-masing lelaki berusia 29, 45 dan seorang yang identitinya belum dikenal pasti tidak mengalami kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemandu treler berusia 42 tahun, pemandu Proton Saga berusia 50 tahun dan pemandu MPV berusia 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, polis telah merakam percakapan semua pemandu terlibat selain membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Empat penunggang motosikal warga Indonesia terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan
  • Seorang penunggang wanita cedera di bahagian kaki kanan
  • Mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk bercuti
  • Kemalangan berpunca dari geselan antara motosikal dan Mitsubishi Xpander
  • Tidak ada tangkapan dibuat, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!