Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar kereta buat pusingan U - Polis

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Vijaya)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Vijaya)
A
A
A

KLANG – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Belah pada Selasa dipercayai maut akibat melanggar sebuah kenderaan yang membuat pusingan U.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam kedua-dua motosikal dan kereta tersebut sedang menghala ke Jalan Kapar dari Plaza Tol Bukit Raja Grand Sepadu.

"Hasil siasatan mendapati penunggang motosikal sedang memotong di garisan berkembar di lokasi berkenaan.

"Mangsa gagal mengelak kenderaan di hadapan yang sedang membuat pusingan U," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Vijaya berkata, lokasi tersebut tidak dibenarkan membuat pusingan U.

"Impak pelanggaran tersebut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 42 tahun ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan tersebut berusia 27 tahun yang tidak mengalami kecederaan telah tampil membuat laporan polis.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut agar menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Batu Belah.

Ringkasan AI

  • Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut akibat melanggar kereta yang membuat pusingan U di Jalan Batu Belah
  • Kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan menghala ke Jalan Kapar dari Plaza Tol Bukit Raja Grand Sepadu
  • Penunggang motosikal sedang memotong di garisan berkembar dan gagal mengelak kenderaan yang membuat pusingan U
  • Lokasi kejadian tidak dibenarkan untuk membuat pusingan U
  • Penunggang motosikal berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!