Tontonan bola paling 'menginsafkan'

SEREMBAN - Tontonan bola sepak paling menginsafkan. Itu gambaran yang diberikan buat peminat bola sepak Negeri Sembilan yang sanggup menggunakan jalan pintas merentasi tanah perkuburan Islam di sini untuk ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Situasi itu dikongsikan menerusi akaun TikTok @mattno, dalam video berdurasi 10 saat yang telah meraih hampir 70,000 tontonan setakat ini.
Difahamkan, jalan pintas itu digunakan kerana kekurangan tempat letak kenderaan di sekitar stadium, menyebabkan sebahagian penonton meletakkan kenderaan di bahu jalan sebelum berjalan kaki merentas kawasan tanah perkuburan tersebut.
Perkongsian video tersebu mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, antaranya yang menyifatkan kawasan itu sebagai ‘tanah perkuburan paling meriah di Malaysia’ kerana menjadi laluan tetap peminat bola sepak ke stadium.

“Dalam masa sama, ramai orang Islam yang lalu situ dapat sedekah Al-Fatihah untuk arwah-arwah di situ,” komen pengguna bernama @YB.ZAF_98.
“Sambil lalu bagi salam, sedekah Al-Fatihah. Ada keinsafan sebelum masuk stadium,” tambah @ketam_kayu pula.
Terdahulu Stadium Paroi kini kembali menjadi tumpuan peminat bola sepak selepas pasukan Negeri Sembilan melakukan rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain berpengalaman bertaraf kebangsaan serta pemain import.
Setakat ini, skuad Rusa menduduki tangga ketujuh Liga Super selepas mengharungi tiga perlawanan.
Isu kekurangan tempat parkir di Stadium Paroi bukan perkara baharu dan telah pun mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut beliau, isu tersebut sukar dielakkan memandangkan lokasi stadium berada berhampiran di kawasan perumahan menjadikan penambahan kawasan parkir satu cabaran besar.
Namun begitu, beberapa pihak telah tampil membantu mengurangkan beban parkir, antaranya Masjid Paroi dan Kompleks Akuatik Paroi yang membuka kawasan mereka untuk dijadikan tempat letak kenderaan bagi penonton perlawanan.
Aminuddin turut menasihatkan agar penonton yang tinggal berhampiran untuk menggunakan motosikal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar stadium.
Beliau juga menjelaskan bahawa penyediaan perkhidmatan bas awam ke stadium adalah sukar untuk dilaksanakan memandangkan keadaan jalan yang sempit dan sesak, terutama ketika hari perlawanan.
Ringkasan AI
- Peminat bola sepak Negeri Sembilan guna jalan pintas merentasi tanah perkuburan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman
- Kekurangan tempat letak kendera di sekitar stadium menyebabkan penonton meletak kenderaan di bahu jalan
- Video di TikTok yang menunjukkan situasi ini mencetuskan pelbagai reaksi termasuk ada yang menyifatkan ini sebagai 'tanah perkuburan paling meriah di Malaysia'
- Masjid Paroi dan Kompleks Akuatik Paroi membuka kawasan mereka untuk dijadikan tempat letak kenderaan bagi mengurangkan beban parkir
- Menteri Besar Negeri Sembilan mengakui isu kekurangan tempat parkir di stadium dan mencadangkan alternatif termasuk penggunaan motosikal bagi penonton yang tinggal berhampiran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


