Bank Islam teruskan kerjasama strategik dengan FAM, sokong pembangunan bola sepak negara

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meneruskan usaha terhadap kemajuan sukan bola sepak negara dengan memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcitnya, Mizan Masram berkata, kerjasama yang kini memasuki tahun kelima merangkumi aktiviti pemasaran bersama dan program Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau.
“Kami percaya bola sepak menyatukan rakyat. Melalui kerjasama ini, Bank Islam mahu menjadi sebahagian daripada semangat itu.
“Justeru, kami amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan dan ruang untuk menyumbang secara langsung kepada perkembangan sukan bola sepak negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemeteraian Perjanjian Kerjasama antara Bank Islam dan FAM bagi tempoh 2025-2025 di Menara Bank Islam di sini baru-baru ini.
Perjanjian strategik tersebut ditandatangani oleh Mizan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed bersama Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin.
Mengulas lanjut Mizan berkata, Bank Islam akan menganjurkan program pengaktifan secara digital di lokasi acara yang melibatkan FAM.
Ia termasuk penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, aktiviti penjenamaan bersama, kandungan media sosial dan pertandingan untuk peminat.
Jelasnya, jalinan kerjasama itu menawarkan peluang kepada penyokong skuad Harimau Malaya memiliki kad rekaan istimewa.
Kaedah tersebut secara tidak langsung menzahirkan sokongan terhadap pasukan selain menikmati pelbagai manfaat termasuk pengeluaran ATM dan pembayaran secara elektronik bagi pembelian tempatan serta luar negara.
Tambah beliau, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada FAM bagi setiap setiap fi pengeluaran, tahunan dan penggantian Kad Debit-i Team Harimau demi manfaat bakat muda serta program pembangunan bola sepak Malaysia.
Sehingga kini, Kad Debit-i Team Harimau telah mencatat lebih 2 juta pengguna di pasaran sekali gus mencerminkan prestasi keyakinan dan sokongan berterusan pelanggan terhadap produk Bank Islam di samping menyokong pembangunan pasukan bola sepak Harimau Malaya.
“Sebagai sebuah institusi perbankan, Bank Islam juga berharap penerbitan Kad Debit-i Team Harimau memacu penggunaan perbankan digital dan pembayaran secara elektronik lebih cepat, berkesan dan selamat, selaras aspirasi negara ke arah masyarakat tanpa tunai.
“Bank Islam amat menghargai FAM atas kepercayaan yang diberikan dan persetujuan untuk melanjutkan kerjasama strategik ini.
“Usaha sama ini mencerminkan komitmen kami dalam membina semangat kesukanan dan memperkukuhkan sokongan terhadap pasukan yang membawa harapan negara.‘Lambang di dada’ bukan hanya satu simbol tetapi satu amanah.
“Bank Islam berbangga dapat bersama FAM dan Harimau Malaya dalam usaha mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Exco FAM dan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Bank Islam yang telah bersama FAM sejak lebih sedekad lalu.
Menurutnya, selama lebih 12 tahun, Bank Islam bukan sahaja menjadi rakan penaja FAM, malah muncul sebagai rakan strategik sejati yang memberikan sumbangan bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi memperkasa jenama bola sepak tempatan serta mengukuhkan ekosistem sukan itu secara keseluruhan.
“Apa yang lebih membanggakan, hubungan ini telah berkembang daripada sekadar perkongsian komersial kepada satu bentuk perkongsian nilai dan aspirasi bersama.
"Ia sejajar dengan visi FAM untuk mewujudkan struktur bola sepak yang menyeluruh, inklusif dan mampu melahirkan lebih ramai pemain, jurulatih serta pegawai teknikal bertaraf antarabangsa.
“Terima kasih sekali lagi Bank Islam kerana terus menjadi rakan kongsi yang progresif, berwawasan dan komited dalam membantu menjayakan misi serta visi kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
