Halim Saad mohon kebenaran rayuan kembalikan semula saman Renong-UEM

PUTRAJAYA - Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Saman itu berkaitan kerugian yang didakwa dialaminya susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM) oleh kerajaan pada 2001.
Peguam Halim, A Surendra Ananth mengesahkan bahawa permohonan kebenaran itu difailkan di Mahkamah Persekutuan semalam.
Dalam notis usulnya, tokoh korporat berusia 72 tahun itu membangkitkan empat persoalan undang-undang untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia berhubung pelanggaran mana-mana kebebasan asasi dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Akta Had Masa 1953 atau Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.
Pada 18 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Halim dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman berkenaan atas alasan ia telah luput tempoh mengikut kedua-dua akta berkenaan.
Saman itu sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Mei 2024 selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan.
Dalam penyataan tuntutannya, Halim yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong, mendakwa beliau bercadang untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkannya memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.
Bagaimanapun, Halim mendakwa beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan rancangan berkenaan kerana kerajaan mahu mengambil alih semua saham UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak lain yang dinamakan oleh Khazanah.
Beliau turut mendakwa diarahkan meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk anak syarikat kedua-dua syarikat itu, sekali gus memaksanya menyerahkan kawalan Renong dan UEM kepada kerajaan serta melupuskan saham Renong miliknya pada harga rugi.
Halim mendakwa Khazanah memperoleh semua saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus mengambil alih kawalan ke atas UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus pegangan saham dalam Renong.
Beliau antara lain menuntut ganti rugi berhubung pengambilalihan paksa oleh kerajaan antara Julai hingga Oktober 2001 serta satu deklarasi bahawa beliau adalah pemegang saham Renong.
Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan itu menafikan mengambil alih pemegangan saham terbabit kerana ia dipersetujui Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta. - Bernama
Ringkasan AI
- Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya
- Saman berkaitan kerugian yang dialami oleh Halim susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers (Malaysia) Berhad oleh kerajaan pada 2001
- Mahkamah Rayuan menolak rayuan Halim pada 18 Ogos lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman atas alasan luput tempoh
- Halim mendakwa diarahkan oleh Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk tidak meneruskan rancangan menswastakan UEM, menyebabkan kerugian ke atasnya
- Halim tuntut ganti rugi atas pengambilalihan paksa saham oleh kerajaan antara Julai hingga Oktober 2001 dan mendakwa dirinya sebagai pemegang saham Renong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
