OKU: Dari diskriminasi ke pemerkasaan, masyarakat harus berubah

Golongan orang kurang upaya (OKU) sering disebut sebagai sebahagian daripada masyarakat inklusif. Namun realitinya, di sebalik slogan indah dan dasar mesra OKU, diskriminasi serta pengabaian terhadap komuniti ini masih berlaku dengan nyata.
Masyarakat kita masih melihat OKU dari sudut simpati semata-mata. Bagi mereka seolah-olah golongan ini hanya layak ditolong, bukan diberi peluang.
Pandangan sempit inilah yang menjadi punca mengapa ramai OKU tidak mendapat ruang setimpal dalam pendidikan, pekerjaan, mahupun kehidupan bermasyarakat.
Hakikatnya, komuniti OKU bukan beban negara, tetapi aset yang belum diberdayakan secara menyeluruh.
Jika diteliti lebih dekat, ramai OKU memilih untuk berdikari. Kekurangan fizikal yang mereka hadapi sering menjadi sumber kekuatan dalaman yang luar biasa.
Namun, kerana kekurangan maklumat dan publisiti tentang pencapaian mereka, masyarakat terus ragu dan mengekalkan persepsi lapuk bahawa OKU tidak mampu.
Lebih malang, pencapaian mereka jarang diangkat media, menyebabkan keyakinan umum terhadap kemampuan OKU semakin tipis.
Lebih parah lagi, perbezaan latar belakang dan budaya dalam kalangan OKU sering diketepikan dalam pembentukan dasar. Seorang OKU dari keluarga Melayu mungkin berdepan stigma berbeza berbanding seorang OKU dalam komuniti Cina atau India.
Ada keluarga yang menganggap ketidakupayaan sebagai aib, lalu menyembunyikan anak mereka. Ada pula yang menolak hak OKU untuk menyumbang dalam ekonomi keluarga.
Realiti ini menunjukkan dasar yang bersifat umum tidak mencukupi. Kita memerlukan pendekatan yang lebih tajam, menyeluruh, dan berpijak pada realiti pelbagai kaum serta budaya.
Satu lagi aspek besar yang sering diabaikan adalah psikologi komuniti OKU. Tidak semua pengalaman mereka sama - ada yang sejak lahir, ada yang akibat penyakit, dan ada yang terpaksa menanggungnya kerana kemalangan.
Walaupun di atas kertas mereka dikelaskan dalam kategori fizikal yang sama, tahap psikologi dan daya tahan mental mereka berbeza sama sekali.
Perkara inilah yang gagal difahami masyarakat dan sebahagian pembuat dasar.
Malaysia tidak boleh terus berada dalam zon selesa. Jika kita benar-benar serius mahu melihat komuniti OKU membangun, langkah besar mesti segera diambil.
Antara cadangan yang tidak boleh ditangguh ialah:
Pertama, pemerkasaan modal insan. OKU perlu diberi akses pendidikan dan latihan dalam bidang strategik, bukan sekadar kursus asas yang meletakkan mereka di pinggiran pasaran kerja.
Mereka wajar dibimbing untuk menguasai kemahiran profesional, teknologi, dan kepimpinan.
Kedua, penubuhan Pusat Inovasi dan Penyelidikan OKU. Negara ini memerlukan sebuah institusi khusus untuk menjalankan kajian tentang teknologi mesra OKU, inovasi pendidikan khas, serta penyelesaian praktikal yang boleh diterjemahkan ke dalam dasar negara.
Ketiga, membuka peluang dalam sektor baharu. Cukuplah dengan membataskan OKU pada bidang jahitan dan makanan semata-mata. Mereka mesti diteroka dan dibimbing dalam sektor yang lebih progresif seperti pertanian pintar, penternakan berteknologi, multimedia, ekonomi digital, dan ekonomi hijau.
Contoh nyata sudah pun wujud. Di Parlimen Padang Besar, Perlis, komuniti OKU melalui Persatuan Pertubuhan Orang Kurang Upaya Negeri Perlis bersama FInDER – Food Security, Innovation, Development Research Centre UUM, Rock Herbs Ind Sdn. Bhd., dan Al-Jazari Centre of Excellence telah menanam lebih 1,000 pokok yang hasilnya diborong oleh industri herba tempatan.
Kajian akademik diketuai Prof. Madya Dr. Risyawati binti Mohamed Ismail dari UUM dibantu Ir Dr Irfan bin Abd Rahim dari Al Jazari COE dengan sokongan penyelidik serta pakar teknikal.
Projek ini membuktikan bahawa dengan sedikit ruang dan sokongan, komuniti OKU bukan sahaja mampu menyertai sektor strategik, malah boleh menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara.
Mesejnya jelas: OKU bukan kelompok yang perlu dikasihani, tetapi warganegara yang wajib diberi ruang setara.
Sudah tiba masanya masyarakat menghentikan diskriminasi halus seperti menolak OKU untuk jawatan penting, memperlekeh usaha mereka, atau sekadar menjadikan mereka simbol simpati.
Media arus perdana mesti berani mengangkat kisah kejayaan mereka. Institusi kerajaan dan swasta pula perlu menyediakan peluang nyata, bukan janji kosong.
Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara maju sekiranya masih ada warganya yang dipinggirkan daripada arus pembangunan. Menghargai OKU bukan sekadar soal kemanusiaan, tetapi soal maruah sebuah negara.
Ingatlah, komuniti OKU tidak meminta belas kasihan. Mereka hanya menuntut ruang untuk membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang, tetapi sumber kekuatan.
Inilah hentakan kesedaran yang mesti dilakukan. Jika kita mahu Malaysia benar-benar inklusif, maka suara OKU mesti diangkat, potensi mereka diberdaya, dan kejayaan mereka diraikan – demi sebuah negara yang adil untuk semua.
** Rushdan Rusmi adalah Ahli Parlimen Padang Besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
