Semangat 'Merdeka Dengan Rasa'

Penduduk Taman Medan antara penerima sumbangan beras yang digerakkan sempena Malaysia #QuranHour 2025. (Gambar kecil: Marhaini)
Penduduk Taman Medan antara penerima sumbangan beras yang digerakkan sempena Malaysia #QuranHour 2025. (Gambar kecil: Marhaini)
A
A
A

SHAH ALAM - Semangat memberi melalui al-Quran diterjemahkan secara nyata apabila sebanyak 2,639 kampit beras berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh dua hari sempena Malaysia #QuranHour 2025 bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’.

Kempen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu membuktikan bahawa mesej al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi mampu dihidupkan dalam bentuk kasih sayang dan kepedulian terhadap masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, nilai sebenar kempen bukan hanya pada jumlah beras yang dikumpulkan, tetapi roh al-Quran yang diterjemah dalam tindakan.

“Nampak kecil, tetapi sebenarnya nilai paling besar ialah bagaimana kandungan al-Quran itu sendiri dapat kita membumikan dalam bentuk kasih sayang dan kepedulian,” katanya.

Beliau berkata, 100 kampit beras sumbangan Faiza dan 2,539 kampit disumbangkan orang ramai itu diagihkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk orang bukan Islam, keluarga asnaf, pusat dialisis, pusat tahfiz, masjid dan rumah anak yatim.

Jelasnya, antara lokasi agihan ialah Masjid Negara, Bukit Bintang, Kajang, Wangsa Maju, Bukit Beruntung, Kluang, Klang, Chow Kit, Taman Melati dan Rawang.

Marhaini berkata, pengalaman mengagihkan bantuan itu menyaksikan bukan sahaja penerima berasa syukur, malah penyumbang turut merasai kebahagiaan.

“Ada keluarga yang sanggup turun mengagihkan sehingga tengah malam menjelang tahun baharu. Dari situ kita nampak roh kasih sayang yang al-Quran ajar dapat diterjemah dalam masyarakat berbilang bangsa,” ujarnya.

Lebih menarik katanya, kempen beras itu mendapat sambutan pantas bukan sahaja dalam negara, malah dari rakyat Malaysia di luar negara termasuk Makkah.

Artikel Berkaitan:

“Respons sangat cepat. Mereka faham mengapa perlu memberi kerana kita sandarkan mesej ini kepada Surah Al-Balad. Inilah bukti apabila al-Quran dibumikan, ia jadi formula yang amat efektif,” katanya.

Selain amalan memberi, Malaysia #QuranHour turut mengangkat bacaan dan tadabbur Surah Al-Saff, Surah Ali ‘Imran (ayat 52) dan Surah Al-Balad sebagai panduan membina jiwa merdeka.

Mengulas perancangan seterusnya, Marhaini berkata, kempen itu akan disambung menerusi World Quran Convention yang bakal memberikan tumpuan kepada Surah Al-Saff.

“Kalau sempena Merdeka kita bawa tema Merdeka Dengan Rasa, di World #QuranConvention kita akan gali bagaimana 'berniaga' dengan ALLAH SWT melalui Surah Al-Saff. Kita sedang susun 12 saf utama yang diharap dapat membina negara dan dunia yang lebih baik,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Semangat memberi menerusi al-Quran diterjemahkan dengan pengumpulan 2,639 kampit beras dalam kempen Malaysia #QuranHour
  • Kempen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bertujuan menghidupkan mesej al-Quran dalam bentuk kasih sayang dan kepedulian terhadap masyarakat
  • 100 kampit beras daripada Faiza dan 2,539 kampit daripada orang ramai diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk bukan Islam dan keluarga asnaf
  • Kempen beras mendapat sambutan dalam dan luar negara termasuk di Makkah, dibuktikan dengan pengumpulan dan agihan cepat bantuan
  • Malaysia #QuranHour juga memfokuskan pada bacaan dan tadabbur beberapa surah al-Quran sebagai panduan membina jiwa merdeka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!