Rompak 6 kedai serbaneka dalam tempoh tiga hari

KOTA BHARU - Dua lelaki bersenjata pistol yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersiri ke atas enam cawangan kedai serbaneka di daerah ini telah ditahan polis di Jalan Sultanah Zainab di sini pada Ahad.
Mereka ditahan kira-kira jam 6.45 pagi selepas dipercayai cuba melakukan satu lagi cubaan samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian samun dilaporkan berlaku antara 10 Mei hingga 12 Mei melibatkan enam premis di sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.
“Dalam semua kejadian, suspek masuk ke dalam premis dengan bersenjatakan pistol dan meminta wang daripada pekerja kaunter.
“Pada hari kejadian terakhir, mereka cuba menyamun satu lagi kedai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, suspek masing-masing berusia awal dan lewat 20-an.
"Turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah sepucuk pistol tiruan jenis Walther P99, dua buah motosikal dan beberapa barangan peribadi yang digunakan dalam kes berkenaan.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat, jika disabitkan kesalahan.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk permohonan reman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

