Israel sah lakukan genosid

Kempen pengeboman terus diperhebatkan ke atas Genting Gaza pada Selasa. Foto AFP
Kempen pengeboman terus diperhebatkan ke atas Genting Gaza pada Selasa. Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas (COI) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan genosid berlaku di Genting Gaza dan kekejaman itu masih berterusan sehingga kini.

"Israel bertanggungjawab penuh," ujar pengerusinya, Navi Pillay ketika mengulas mengenai laporan yang diterbitkan selepas hampir dua tahun perang ganas berlaku di wilayah tersebut.

COI membuat kesimpulan bahawa Zionis sejak Oktober 2023 telah melakukan empat daripada lima tindakan pembunuhan beramai-ramai seperti disenaraikan di bawah Konvensyen Genosid 1948.

Keterangan saksi bersama corak tingkah laku tentera Israel menunjukkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan secara sengaja dengan tujuan menghapuskan penduduk Palestin di Gaza.

Laporan itu juga menyimpulkan bahawa Presiden Israel, Isaac Herzog; Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu; dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menghasut perlakuan genosid.

Selain itu, pihak berkuasa Israel didapati gagal bertindak tegas untuk menghukum jenayah sedemikian.

"Jenayah kejam ini angkara kepimpinan tertinggi Tel Aviv," kata Pillay yang sebelum ini pernah mengetuai tribunal antarabangsa untuk Rwanda.

Difahamkan, COI bukanlah sebuah badan undang-undang, namun laporan mereka boleh memberi tekanan diplomatik serta berfungsi untuk mengumpulkan bukti yang akan digunakan di mahkamah.

Menurut Pillay, COI sedang bekerjasama dengan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan berkongsi ribuan maklumat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Israel sekali lagi menafikan kekejaman dilakukan mereka dan menuduh kononnya laporan tersebut diputar belit oleh proksi Hamas. - AFP

Info:

Empat daripada lima perbuatan genosid dilakukan Israel sejak Oktober 2023:

1.Membunuh anggota kumpulan (penduduk Palestin).

2.Menyebabkan kecederaan mental dan fizikal yang serius

3.Sengaja mewujudkan keadaan bertujuan jahat untuk hapuskan kumpulan tersebut.

4.Menghalang kelahiran.

 

Ringkasan AI

  • Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas di bawah PBB mengesahkan genosid berlaku di Genting Gaza
  • Israel bertanggungjawab penuh atas kekejaman yang berterusan di wilayah tersebut
  • Zionis telah melakukan empat daripada lima tindakan pembunuhan beramai-ramai sejak Oktober 2023
  • Laporan itu menuduh kepimpinan tertinggi Israel, termasuk Presiden dan Perdana Menteri, menghasut perilaku genosid
  • COI bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk berkongsi maklumat bagi tindakan selanjutnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!