Pas memimpin negara dalam membawa kerangka ekonomi adil

Pas merupakan parti komponen PN yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak setakat ini.
Pas merupakan parti komponen PN yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak setakat ini.
A
A
A

TIRAI politik negara menyaksikan dua parti utama Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Pas selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan dan Muktamar.

Pada Ketika ini, Pas adalah parti terbesar dalam PN dengan 43 kerusi Parlimen, berbanding Bersatu (31), manakala Gerakan dan MIPP tidak memiliki kerusi.

Pada PRU15, Pas bukan sahaja muncul sebagai parti terbesar daripada segi bilangan kerusi parlimen malah mendahului DAP (40), Bersatu (31), PKR (31) dan UMNO (26).

Namun selama ini, sama ada ketika bersama Pakatan Rakyat atau PN, Pas sering dilihat sebagai penyumbang bilangan kerusi, tetapi diketepikan dalam menentukan pucuk pimpinan gabungan.

Keadaan ini mungkin kerana sikap rendah hati Pas yang enggan menggoncang keseimbangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, suara dalam kalangan profesional serta golongan pertengahan Pas mendesak parti tampil lebih ke hadapan, termasuk menerajui PN.

Isyarat ini turut dizahirkan dalam ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menekankan keperluan “Kembali kepada Penyelesaian Islam.”

Tersurat dan tersirat, Pas kini bukan lagi boleh memilih, tetapi wajib bersedia untuk memimpin.

Rasa tidak puas hati juga dipengaruhi pengalaman dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di mana Pas seolah tidak dihormati sebagai rakan gabungan setaraf.

Artikel Berkaitan:

Ditambah pula dengan perebutan kuasa dalaman Bersatu, ramai melihat parti itu bergolak dan kurang stabil.

Maka persoalan besar timbul: Adakah Pas bersedia menerajui PN dan seterusnya negara?

Untuk menjawabnya, kita perlu menilai prestasi lampau. Contoh paling jelas ialah kepimpinan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA) sebagai Menteri Besar Kelantan (1990–2013).

Pada awalnya, ramai meragui kemampuan seorang ulama mentadbir negeri. Namun, TGNA bukan sahaja berjaya memerintah dengan baik, malah cemerlang walaupun berdepan tekanan kerajaan pusat.

Falsafah ekonominya berasaskan kebajikan, membasmi kemiskinan dan tadbir urus berhemah.

Beliau menolak riba, menggantikan pajak gadai konvensional dengan skim Ar-Rahn patuh syariah.

TGNA dikenang kerana hidup sederhana, mengurus kewangan telus dan membangunkan kekuatan tempatan khususnya sektor pertanian.

Inilah model kepimpinan Islam beretika yang boleh menjadi inspirasi negara.

Kejayaan TGNA juga membuktikan bahawa Pas mampu menampilkan kepimpinan yang menggabungkan nilai agama dengan kecekapan pentadbiran.

Ia sekaligus menolak persepsi bahawa Pas hanya parti agama tanpa visi ekonomi moden.

Maju ke 2025, persoalannya: Adakah Pas memiliki tokoh setanding Tuan Guru Presiden PAS atau TGNA untuk digilap sebagai calon PM11?

Dua nama menonjol:

1. Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar – Menteri Besar Terengganu, tokoh teknokrat dengan kelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan AeroAngkasa. Beliau pernah berkhidmat di UPM dan kini terbukti mentadbir Negeri Terengganu dengan disiplin kewangan berhemah. Sifat sederhana serta imej profesional menjadikan beliau sesuai memimpin negara majmuk. Tegas dan tidak mudah dipengaruhi, beliau dilihat sebagai calon kompromi terbaik.

2. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor – Menteri Besar Kedah yang terkenal dengan gaya lebih agresif. Seperti Dr Sam, Sanusi juga berjaya memacu ekonomi Negeri Kedah dan mendapat sokongan rakyat kerana perwatakan mesra serta keberanian. Beliau dianggap mempunyai kekuatan politik akar umbi yang kukuh.

Kedua-dua tokoh ini menunjukkan Pas mempunyai pilihan berkaliber. Kepelbagaian gaya kepimpinan ini boleh meluaskan daya tarikan Pas kepada segmen pengundi yang berbeza.

Tidak kurang pentingnya daripada melainkan tokoh ialah dasar yang dibawa. Pas telah melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 - sebuah dokumen jangka panjang hingga tahun 2051.

WINS menekankan keadilan pengagihan kekayaan, agar ia tidak berputar dalam kelompok tertentu.

Pendekatan ini menandakan PAS serius dengan perancangan ekonomi mampan, beretika dan berteraskan Islam – bukan sekadar retorik politik. WINS juga menekankan keseimbangan pembangunan material dan spiritual.

Ia menampilkan visi bahawa ekonomi baharu yang tidak terpisah daripada prinsip agama, bahkan boleh bergerak seiring. WINS membuktikan Pas bukan sekadar mengejar jawatan, tetapi mahu menyelesaikan masalah rakyat.

Namun, melihat kepada realiti semasa, Pas mesti berani keluar dari kepompong, menampilkan kesediaan untuk memimpin, dan menjelaskan kepada rakyat apakah tawaran mereka sekiranya diberi mandat menerajui negara.

Selain calon PM11, Pas wajar mula menamakan bakal Menteri Kabinet untuk menonjolkan barisan kepimpinan yang bersedia.

Ahli Parlimen Pas kini ramai berkelayakan, tetapi parti juga boleh memperluaskan penyertaan dengan membawa lebih ramai teknokrat dan ahli akademik sebagai pelapis.

Dengan cara ini, Pas dapat meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu memimpin negara moden secara berkesan.

Pendekatan ini juga memberi mesej bahawa Pas bersedia menjadi kerajaan dengan pasukan profesional yang lengkap.

Kejelasan struktur kepimpinan akan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa bahawa pentadbiran negara kelak stabil, berwibawa dan berasaskan prinsip keadilan.

Pas berada di persimpangan sejarah. Dari “teman sejati” dalam gabungan, kini parti terbesar dalam PN.

Dengan rekod pentadbiran seperti TGNA, munculnya tokoh teknokrat/Akademik seperti Dr. Ahmad Samsuri dan dengan adanya juga Muhammad Sanusi, serta rancangan induk WINS 2051, Pas memiliki ramuan yang mencukupi untuk melangkah ke hadapan.

Cabaran utama ialah keberanian untuk tampil sebagai peneraju, bukan lagi sekadar penyokong.

Jika berjaya meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan Pas membawa keadilan ekonomi, tadbir urus beretika, dan kesejahteraan berasaskan Islam, maka peluang Pas untuk melahirkan PM11 bukan lagi sekadar kemungkinan, tetapi kewajipan sejarah.

*Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Kuala Lumpur

Ringkasan AI

  • Pas kini mempunyai kerusi Parlimen terbanyak dalam Perikatan Nasional dan menjadi parti terbesar selepas PRU15
  • Kepimpinan Pas seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, menunjukkan bahawa Pas mampu memadukan nilai agama dengan kecekapan pentadbiran
  • Pas berhasrat untuk memimpin dengan melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang menekankan keadilan ekonomi beretika
  • Pas mempunyai calon pemimpin berkualiti seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  • Parti ini berada di persimpangan sejarah untuk tampil sebagai peneraju bukan sekadar penyokong dalam pentadbiran negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!