Video lucah AI: Hari ini kena pada YB, esok mungkin kita

Mengejutkan apabila Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau menjadi mangsa ugutan penyebaran video lucah palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ingatkan beliau sahaja, rupanya ramai lagi pemimpin politik turut mendakwa menjadi mangsa penyebaran video lucah palsu yang menggunakan teknologi tersebut.
Mereka termasuklah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Adab dan etika teknologi di negara kita nampaknya sudah 'ke laut'. Teknologi sepatutnya menjadi pemudah cara hidup manusia, namun malangnya ia kini turut disalahgunakan untuk tujuan kotor.
Inilah bukti bahawa dunia digital sedang berdepan cabaran baharu yang bukan sahaja mengaibkan, malah boleh menggugat keyakinan terhadap seseorang individu.
Merak Jalanan risau ramai tidak mampu mendepani fitnah yang sangat mudah dicipta untuk menjatuhkan seseorang biarpun ia hanyalah palsu. Paling membimbangkan, orang ramai lebih mempercayai fitnah yang tersebar, tidak selidik atau tabayyun terlebih dulu.
Memang benar bagai dikata bahawa kalau tak buat perkara terkutuk itu kenapa nak takut. Masalahnya, jika tak dibendung dari sekarang, Merak Jalanan risau kehidupan generasi akan datang. Kalau YB boleh kena, apa lagi rakyat biasa.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa memperketat undang-undang jenayah siber ini serta mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik fitnah berbentuk digital ini.
Rakyat juga perlu matang, menilai sumber maklumat dengan bijak dan tidak menjadi penyambung tangan jahat di media sosial. Janganlah kita biarkan teknologi AI menjadi senjata pemusnah reputasi. Ingat, fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh!
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengaku menjadi mangsa ugutan penyebaran video lucah palsu berasaskan AI
- Ramai pemimpin politik lain juga mendakwa menjadi mangsa penyebaran video lucah palsu menggunakan teknologi AI termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
- Adab dan etika penggunaan teknologi di Malaysia semakin merosot, di mana teknologi disalahgunakan untuk tujuan negatif
- Penyebaran fitnah berformat digital ini membuktikan dunia digital sedang menghadapi cabaran baharu yang mengugat reputasi seseorang
- Pihak berkuasa perlu memperketat undang-undang jenayah siber dan masyarakat perlu bertanggungjawab dalam menilai sumber maklumat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
