AI disalah guna, ugutan deepfake gegar negara

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin mempengaruhi kehidupan seharian manusia daripada urusan kerja, pembelajaran hingga hiburan.

Bagaimanapun, perkembangan positif itu tidak lari daripada risiko apabila ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan teknologi tersebut untuk tujuan jahat.

Terkini, negara dikejutkan dengan pendedahan beberapa wakil rakyat yang menerima e-mel ugutan berunsur video lucah palsu dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya sembilan wakil rakyat menerima e-mel ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).

Kiriman emel yang diterima Mohammed Taufiq.
Kiriman emel yang diterima Mohammed Taufiq.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli antara terawal mendedahkan menerima ugutan melalui e-mel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.

Sehari selepas pendedahan itu, beberapa wakil rakyat lain termasuklah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi turut dilaporkan menerima e-mel itu.

Selain itu, beberapa wakil rakyat lain turut menerima e-mel ugutan hampir sama adalah Senator Manolan Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zen serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Artikel Berkaitan:

Belum reda isu itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pula mendedahkan menerima e-mel ugutan itu seperti mana berlaku kepada beberapa wakil rakyat baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, hanya Ahli Parlimen dan ADUN lelaki yang dilaporkan menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan ugutan tersebut.

Apa yang membimbangkan, ugutan berbentuk video lucah palsu bukan sahaja mengancam ahli politik, tetapi berpotensi merebak kepada masyarakat umum, termasuk golongan remaja dan individu biasa.

Jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan keselamatan digital negara.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini menjalankan siasatan bagi mengesan dalang di sebalik penghasilan dan penyebaran video lucah palsu berasaskan AI itu.

Insiden itu membuktikan bagaimana teknologi AI boleh bertukar menjadi senjata jika disalahgunakan.

Hakikatnya, AI seperti ChatGPT, perisian rekaan imej atau penyuntingan video sepatutnya digunakan untuk membantu kehidupan seharian termasuklah membolehkan peniaga menghasilkan strategi pemasaran.

Bagaimanapun, teknologi sama juga boleh diputar belit untuk mencipta kandungan palsu yang sukar dibezakan dengan realiti.

Apa yang membimbangkan, orang awam yang kurang arif tentang teknologi mungkin mudah mempercayai kandungan palsu seumpama itu yang kelihatan seakan-akan nyata.

Sebagai contohnya, kisah pasangan warga emas dari Kuala Lumpur yang tular di media sosial pada Julai lepas apabila didakwa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas terperdaya video janaan AI.

Pasangan terbabit didakwa terpengaruh video yang mempromosikan kononnya terdapat kereta kabel pelancongan baharu dari Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak ke Baling, Kedah.

Itulah bahaya sebenar apabila AI disalah guna.

Dari sudut undang-undang, terdapat peruntukan untuk mengekang jenayah yang dilakukan melalui e-mel atau teknologi manipulasi imej serta video atau ‘deepfake’, sekali gus menjadi isyarat jelas bahawa pelaku tidak boleh terlepas begitu sahaja.

Adalah penting bagi masyarakat memahami bahawa AI tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana teknologi hanyalah alat.

Yang menentukan baik buruknya adalah manusia yang menggunakannya.

Isu video ugutan palsu terhadap ahli politik itu adalah amaran jelas bahawa AI boleh menjadi pedang bermata dua iaitu boleh memudahkan hidup, tetapi jika disalah guna mampu menjejaskan imej, menggugat keharmonian, reputasi serta keselamatan negara.

Justeru, sikap beretika, bertanggungjawab dan berhati-hati sangat diperlukan dalam dunia digital hari ini.

Ringkasan AI

  • Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi kehidupan seharian manusia dalam aspek kerja, pembelajaran, dan hiburan
  • Beberapa wakil rakyat di Malaysia menerima e-mel ugutan berunsur video lucah palsu yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi AI
  • Sembilan wakil rakyat diminta bayaran sebanyak AS$100,000 sebagai sebahagian dari ugutan melalui e-mel yang disertakan dengan video palsu tersebut
  • PDRM dan SKMM sedang menjalankan siasatan untuk mengesan dalang di sebalik penyebaran video lucah palsu berbasis AI itu
  • Isu video lucah palsu ini bukan sahaja mengancam ahli politik tetapi juga berpotensi merebak kepada masyarakat umum dan menjejaskan keselamatan digital negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!