Empat anggota FRU masih di ICU, mula tunjuk perkembangan positif

TELUK INTAN - Empat anggota polis yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas terlibat dalam kemalangan tragik 13 Mei lalu menunjukkan perkembangan positif apabila sudah sedar dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, keempat-empat mangsa sebelum ini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederaan serius, namun mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

"Ini satu perkembangan positif. Kesemua mangsa mengalami kecederaan dalaman kesan himpitan akibat kemalangan dan pastinya ini memerlukan masa untuk pulih.
"Kita doakan mereka segera pulih dan proses pemulihan terus berjalan lancar," katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Hilir Perak di Dataran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Khamis.
Mangsa yang masih dirawat di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.
Seorang lagi mangsa, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Sarjan Mohd Parih Ali, 44, yang sebelum ini turut dirawat di ICU Hospital Teluk Intan telah dibenarkan keluar hospital pada jam 6.30 petang pada Rabu selepas menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Bakri berkata, IPD Hilir Perak memastikan kebajikan semua waris mangsa diberi perhatian dengan melakukan lawatan berkala di hospital untuk memberi semangat dan sokongan moral selain menyampaikan bantuan daripada pelbagai pihak.
Katanya, dalam insiden itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi agama dan masyarakat awam tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan.

"Semalam pun kami menerima sumbangan daripada pihak masjid, kuil dan tokong untuk disalurkan kepada keluarga mangsa.
"Masjid-masjid sekitar Hilir Perak juga mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin khusus untuk kesembuhan mangsa juga bagi roh anggota yang terkorban.
"Insiden ini bukan sahaja menyentuh hati warga polis, malah menyatukan seluruh masyarakat Hilir Perak yang turut merasai penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh keluarga mangsa," katanya.
Sementara itu, seramai 75 individu termasuk 35 petugas media di Perak menerima Sijil Penghargaan Khas yang diberikan atas sumbangan masing-masing membantu tugas kepolisan.
Dalam nahas kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Nahas turut mengakibatkan sembilan anggota lain cedera dengan sebahagiannya parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

