70 rumah dilanda banjir kilat di Simpang Ampat

GEORGE TOWN - Hujan lebat lebih sejam menyebabkan kejadian banjir kilat di Kampung Baru, Simpang Ampat, Nibong Tebal sehingga menjejaskan kira-kira 70 buah rumah, pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Paras air naik setinggi kira-kira 0.1 meter dan telah memasuki rumah penduduk.
"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terperangkap atau tercedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, pasukan bomba menjalankan pemantauan di lokasi kejadian sebelum mengesahkan keadaan terkawal dengan paras air di sekitar Sungai Junjung semakin surut.
“Operasi pemantauan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah hari.
"Selain sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) turut digerakkan ke lokasi," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang wanita berusia 24 tahun terselamat selepas kereta dipandunya terbabas ke kawasan banjir kilat berhampiran Paksu Bawal Goreng, Sungai Bakap di sini, tengah hari Isnin.
John Sagun berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.11 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari BBP Sungai Bakap dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi.
“Ketika tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Toyota Vios didapati dimasuki air selepas terbabas ke kawasan banjir kilat.
“Seorang mangsa wanita berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan bomba,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota bertugas memastikan lokasi selamat daripada sebarang ancaman lain.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah hari," ujarnya.
Ringkasan AI
- Hujan lebat lebih sejam di Kampung Baru, Simpang Ampat, Nibong Tebal sebabkan banjir kilat menjejaskan 70 buah rumah
- Pasukan bomba dan penyelamat dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan
- Paras air naik setinggi 0.1 meter dan masuk ke dalam rumah penduduk tetapi tiada mangsa terperangkap atau tercedera
- Kondisi terkawal dengan paras air di sekitar Sungai Junjung semakin surut, pemantauan di lokasi ditamatkan pada jam 12.42 tengah hari
- Seorang wanita selamat selepas keretanya terbabas ke kawasan banjir kilat, operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

