Wanita maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U

BATU PAHAT – Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 10, Jalan Kluang–Ayer Hitam di sini pada awal pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.10 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah kereta dari arah pusat bandar Batu Pahat sedang bergerak lurus menghala ke arah Parit Raja.
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dari arah bertentangan membuat pusingan U hingga memasuki laluan kereta terbabit.
“Akibatnya, penunggang motosikal, seorang wanita tempatan berusia 59 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan organ dalaman. Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu dan membahayakan.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut selepas motosikalnya bertembung dengan kereta di Jalan Kluang–Ayer Hitam, Batu Pahat
- Kejadian berlaku pada jam 8.10 pagi
- Ketika sebuah kereta sedang bergerak lurus menghala ke Parit Raja, motosikal dari arah bertentangan membuat pusingan U
- Penunggang motosikal, wanita berusia 59 tahun, meninggal di tempat kejadian
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
