Anak Bachok buka ladang wagyu pertama Kelantan

Lembu wagyu yang ditempatkan dalam kandang tertutup di ladang Kelfarm
di Seribong, Kota Bharu. Gambar kecil: Paizol Akman
Lembu wagyu yang ditempatkan dalam kandang tertutup di ladang Kelfarm di Seribong, Kota Bharu. Gambar kecil: Paizol Akman
A
A
A

KOTA BHARU - Keberanian seorang anak jati Jelawat, Bachok memecah kebiasaan dengan membangunkan ladang ternakan lembu Wagyu pertama di Kelantan kini membuka lembaran baharu industri daging premium di negeri ini.

Paizol Akman Awang, 52, menceburi bidang itu bermula dengan sekadar hobi pada 2022 kini berkembang menjadi projek penternakan komersial dengan 120 lembu wagyu diternak di lima kandang iaitu di Seneng dan Wakaf Aik, Bachok, Wakaf Bharu, Tumpat, Pantai Cahaya Bulan serta tapak utama di Seribong di sini.

“Pada awalnya saya cuma mahu mencuba dengan melaburkan modal pertama berjumlah RM1.7 juta bagi membeli baka wagyu black Japanese hitigashi dari Universiti Saranare, Surin, Thailand.

“Saya beli 40 ekor lembu iaitu 17 betina dan 23 jantan,” katanya ketika ditemui di ladang Kelfarm di Seribong di sini.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Kelfarm berkata, terkini pembangunan kadang tertutup bernilai RM1 juta pula dibina hasil dana disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memperluaskan lagi ladang ternakan.

“Persekutuan dan negeri sangat membantu terutama dalam pembinaan kandang tertutup bersaiz 112 meter persegi di atas tanah seluas 5.3 hektar di Seribong.

“Lokasi itu kini menjadi kandang kelima projek ternakan lembu wagyu,” ujarnya.

Proses pembiakan lembu wagyu sedang dilakukan pekerja Faizol Akman.
Proses pembiakan lembu wagyu sedang dilakukan pekerja Faizol Akman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Paizol Akman mengakui cabaran paling besar ialah kekurangan ilmu penternakan premium dan kos makanan seperti dedak bali serta jagung yang tinggi sebagai makanan kepada lembu wagyu.

“Seekor lembu wagyu memerlukan tempoh 30 bulan sebelum boleh dijual dengan anggaran kos penjagaan sekitar RM15,000 seekor, tetapi mampu memberikan pulangan antara RM45,000 hingga RM50,000 bergantung berat dan kualiti.

“Kesihatan lembu ini juga dipantau rapi dengan vaksin dan vitamin secara berkala dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” jelasnya.

Beliau berkata, rumput napier turut ditanam sebagai makanan tambahan manakala vaksin dan vitamin diberi secara berjadual bagi mengelak jangkitan kuku dan mulut.

Projek ladang Kelfarm kini mempunyai lebih 30 pekerja, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

“Saya sebenarnya bekerja sebagai kontraktor, tetapi minat serta keyakinan terhadap potensi pasaran daging wagyu mendorong saya meneroka bidang yang belum pernah diceburi anak Kelantan sebelum ini.

“Saya sangat berharap mampu bertahan lama dalam industri ini untuk merancakkan lagi ekonomi negeri,” ujarnya.

Paizol Akman yang mempunyai enam anak berusia antara 14 hingga 26 tahun itu selainnya mahu pencapaian terbabit menjadi inspirasi kepada anak muda Kelantan untuk berani mencuba sektor penternakan bernilai tinggi.

Ringkasan AI

  • Paizol Akman Awang membangunkan ladang ternakan lembu Wagyu pertama di Kelantan
  • Mula dengan hobi pada 2022, kini mempunyai 120 lembu Wagyu di lima kandang
  • Modal permulaan RM1.7 juta untuk membeli baka Wagyu dari Thailand
  • Pembangunan kadang tertutup bernilai RM1 juta dengan dana dari KPKM dan UPEN
  • Projek ladang Kelfarm mencipta peluang ekonomi baru dengan mempekerjakan lebih 30 orang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!