Anak jati Sarawak, Mohamad Zainal dilantik Pesuruhjaya Polis Negeri

SHAH ALAM – Pengalaman luas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam bidang siasatan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang dibuktikan apabila beliau diberi kepercayaan dengan lantikan sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu.
Anak jati Sarawak itu menggantikan Datuk Mancha Ata yang akan bersara wajib pada 29 September ini.
Lantikan tersebut turut menyaksikan Mohamad Zainal, 47, dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis (CP), sekali gus menjadi pegawai polis termuda dilantik ke jawatan berkenaan.
Mohamad Zainal berkata, ia merupakan peluang untuk beliau menabur bakti di negeri kelahirannya.
“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kepercayaan kepada saya.
“Kini, tiba masanya untuk saya berkhidmat di negeri kelahiran setelah lebih 25 tahun berkelana di Semenanjung Malaysia, sama ada belajar mahupun bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Ketua Penolong Pengarah D5, Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman, Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi dan KPD Perak Tengah.
Mohamad Zainal juga merupakan antara ‘produk’ Harvard Business School selepas mengikuti program pengurusan lanjutan, selain memiliki pelbagai kelulusan akademik.
Antaranya ialah Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sarjana Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Sarjana Muda Undang-Undang (UiTM), serta Sarjana Muda Sosial Pentadbiran dan Keadilan dari Universiti Malaya (UM).
Difahamkan, beliau antara 38 pegawai kanan PDRM yang dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan.
Satu kenyataan rasmi dijangka akan dikeluarkan PDRM berhubung pertukaran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
