Daging babi bertukar biru

Fenomena pelik mengejutkan penduduk apabila daging babi hutan dilaporkan bertukar biru.
Fenomena pelik mengejutkan penduduk apabila daging babi hutan dilaporkan bertukar biru.
A
A
A

CALIFORNIA – Fenomena pelik mengejutkan penduduk apabila daging babi hutan di beberapa kawasan di California dilaporkan bertukar biru neon akibat keracunan bahan kimia beracun diphacinone, sejenis racun tikus yang digunakan bagi mengawal populasi haiwan perosak.

Gambar tular di media sosial menunjukkan daging babi hutan berwarna biru laut, seolah-olah 'biru blueberry', menurut Dan Burton, pemilik sebuah syarikat kawalan hidupan liar yang ditemu bual oleh Los Angeles Times.

Pihak berkuasa negeri memberi amaran kepada pemburu dan orang ramai supaya tidak memakan daging haiwan buruan yang terdedah kepada racun tersebut kerana proses memasak tidak mampu menghapuskan toksinnya.

Selepas diteliti daging babi hasil buruan bertukar biru.-Agensi
Selepas diteliti daging babi hasil buruan bertukar biru.-Agensi

Menurut Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California (CDFW), pengambilan daging tercemar boleh menyebabkan pendarahan pada gusi dan hidung, darah dalam air kencing serta najis, sakit perut, pening, tekanan darah rendah, sesak nafas, malah boleh membawa maut.

Penyelaras siasatan racun perosak CDFW, Dr Ryan Bourbour berkata, pendedahan kepada rodentisid bukan sahaja menjejaskan babi hutan, tetapi juga haiwan lain termasuk rusa, beruang, angsa, burung hantu, singa gunung dan burung kondor.

“Pemburu perlu sedar bahawa daging haiwan buruan mungkin tercemar jika haiwan tersebut terdedah kepada rodentisid,” katanya.

CDFW turut menggesa pemburu melaporkan penemuan tisu berwarna biru atau tanda luar biasa lain pada haiwan buruan kepada makmal kesihatan hidupan liar agensi itu.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan California telah menghadkan penggunaan diphacinone hanya untuk tujuan tertentu seperti kawalan vektor nyamuk dan perlindungan spesies terancam.

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan lebih luas mengenai kesan penggunaan racun tikus terhadap ekosistem, apabila haiwan pemangsa atau buruan yang memakan haiwan tercemar turut berisiko jatuh sakit atau mati. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!