DHPP diiktiraf sebagai sayap rasmi Pas

ALOR SETAR - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kini diiktiraf sebagai sayap rasmi parti Pas setanding dengan Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Assabiqun.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pindaan perlembagaan Pas yang berkuat kuasa 8 Ogos lalu membolehkan DHPP menerima keahlian bersekutu daripada warganegara Malaysia beragama selain Islam.
Menurutnya, menerusi pindaan yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) itu, semua ahli DHPP sebelum ini yang berstatus rakan Pas secara automatik diserap menjadi ahli bersekutu.
“DHPP kini merupakan sayap rasmi bersama Assabiqun, Ulama, Muslimat dan Pemuda,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas di sini pada Isnin.
Takiyuddin berkata, langkah itu dijangka memperkukuhkan kedudukan DHPP sebagai platform rasmi yang menghubungkan Pas dengan masyarakat bukan Islam, sekali gus mengiktiraf peranan mereka dalam perjuangan parti itu.
“Pas kini mencatatkan keahlian seramai 1.3 juta orang dengan purata kemasukan baharu antara 2,000 hingga 3,000 setiap bulan secara konsisten,” katanya.
Dengan pengiktirafan itu, DHPP dijangka memainkan peranan lebih besar dalam membantu memperluas pengaruh Pas merentasi pelbagai lapisan masyarakat, khususnya di kawasan bandar dan campuran menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ringkasan AI
- Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) diiktiraf sebagai sayap rasmi Pas
- Pindaan perlembagaan Pas membolehkan DHPP menerima keahlian bersekutu dari warganegara Malaysia beragama selain Islam
- Semua ahli DHPP sebelum ini yang berstatus rakan Pas diserap menjadi ahli bersekutu
- Langkah ini memperkukuhkan kedudukan DHPP sebagai platform hubungan Pas dengan masyarakat bukan Islam
- DHPP dijangka memainkan peranan besar dalam membantu Pas memperluas pengaruhnya merentasi lapisan masyarakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

