Kemalangan maut: Lebuhraya PLUS sesak sejauh 5km

SEREMBAN - Kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Nilai ke Bandar Ainsdale pada pagi Ahad menyebabkan kesesakan trafik lebih tiga jam sejauh lima kilometer.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 6.50 pagi melibatkan sebuah Mitsubishi Triton dengan sebuah Honda Jazz.
Menurutnya, pacuan empat roda itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20-an bersama rakannya yang juga berusia lingkungan sama, dalam perjalanan dari Bangsar menghala ke Seremban.
Sementara itu, Honda Jazz pula dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak mereka dari Seri Kembangan menuju ke Johor.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan sebelum berpusing beberapa kali dan melanggar bahagian belakang Honda Jazz yang berada di lorong kedua dari kanan, sebelum kenderaan itu terbalik.
“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu pacuan empat roda tercampak keluar dan ditimpa kenderaannya sendiri. Penumpangnya pula mengalami kecederaan namun berjaya keluar melalui pintu sebelah kanan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pemandu berkenaan disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, kesemua pemandu dan penumpang Honda Jazz terselamat.
“Pemandu dan penumpang hadapan kereta (Honda Jazz) berjaya keluar sendiri dari kenderaan tersebut manakala dua penumpang belakang tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198.
Ringkasan AI
- Kemalangan maut di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan menyebabkan kesesakan trafik lebih tiga jam
- Kemalangan melibatkan sebuah Mitsubishi Triton dan Honda Jazz
- Pemandu Mitsubishi Triton tercampak keluar dan ditimpa kenderaannya sendiri, disahkan maut di tempat kejadian
- Kesemua pemandu dan penumpang Honda Jazz terselamat
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

