Hasrat bercuti tidak kesampaian, wanita maut nahas 3 kenderaan

Seorang wanita maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ikan, Kuala Terengganu awal pagi Sabtu.
Seorang wanita maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ikan, Kuala Terengganu awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat sebuah keluarga untuk bercuti ke Terengganu tidak kesampaian apabila seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ikan di sini awal pagi Sabtu.

Mangsa, Rohani Hashim, 62, dari Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Aruz dinaikinya bertembung dengan sebuah Naza Citra kira-kira jam 12.22 tengah malam.

Pemandu kenderaan, Ain Syafawati Abdullah, 39, serta dua lagi penumpang iaitu Abdullah Hashim, 70, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Putri Nur Dini Syamimi Mohamad Nor Rafiqh, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Seorang lagi penumpang, Putra Haikal Zafran, 10, bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Naza Citra dipandu seorang wanita berusia 29 tahun dari Jerteh dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Aruz berkenaan.

“Perlanggaran itu menyebabkan Naza Citra berpusing lalu dirempuh sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama isteri dan tiga anaknya dari arah Kemaman.

“Proton Saga yang datang dari arah belakang cuba mengelak namun bergesel pada bahagian sisi Naza Citra,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Azli berkata, mangsa bersama dua anak difahamkan dalam perjalanan ke Terengganu untuk bercuti sebelum terlibat dalam nahas itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut manakala pemandu Perodua Aruz bersama dua penumpang dan pemandu Naza Citra yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu Proton Saga bersama isteri dan tiga anak mereka tidak mengalami kecederaan dalam nahas tersebut,” tambah beliau.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ringkasan AI

  • Wanita Maut, Tiga Cedera dalam Kemalangan Tiga Kenderaan di Kuala Terengganu
  • Seorang wanita meninggal dan tiga cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan
  • Kemalangan berlaku di Jalan Sungai Ikan, Kuala Terengganu
  • Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Naza Citra memasuki laluan bertentangan
  • Empat keseluruhan mangsa, termasuk yang meninggal, dalam perjalanan bercuti ke Terengganu
  • Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!