Wanita maut tersepit, tujuh termasuk kanak-kanak cedera nahas dua kenderaan

MERSING – Seorang wanita maut manakala tujuh individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 29, Jalan Kota Tinggi–Mersing di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan pada jam 2.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda BRV.
“Siasatan mendapati nahas melibatkan kereta Toyota Vios yang dinaiki seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berusia antara tujuh hingga 50 tahun, dengan sebuah MPV Honda BRV dinaiki dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 33 hingga 70 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios yang dalam perjalanan menghala ke Mersing hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda BRV yang sedang dalam perjalanan dari arah Endau ke Johor Bahru.
“Akibat pertembungan itu, seorang wanita iaitu penumpang hadapan Toyota Vios berusia 48 tahun cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu kereta berkenaan, seorang lelaki berusia 50 tahun serta seorang penumpang kanak-kanak berusia tujuh tahun cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Abdul Razak, seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan yang merupakan penumpang Honda BRV turut mengalami kecederaan ringan, sementara pemandunya terselamat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.36 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi sejauh 32 kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan Toyota Vios bertembung dengan Honda BRV.
“Mangsa yang maut dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan Toyota Vios dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
“Seorang lagi penumpang Vios cedera bersama seorang kanak-kanak, manakala lima mangsa yang menaiki Honda BRV turut cedera,” katanya.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut, sementara mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.24 petang.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut manakala tujuh individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam nahas di KM 29 Jalan Kota Tinggi – Mersing
- Kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan sebuah kenderaan pelbagai guna Honda BRV
- Toyota Vios hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda BRV
- Seorang wanita penumpang Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
