AI pemangkin perkukuh siasatan forensik digital - SPRM

Wan Zulkifli
Wan Zulkifli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kecerdasan buatan (AI) merupakan pemangkin baru dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik digital negara dengan keupayaan mengautomasikan analisis, menapis data besar dan mengenal pasti pola jenayah lebih pantas serta tepat.

Pengarah Bahagian Forensik Teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, integrasi AI membolehkan siasatan dilaksanakan lebih cekap kerana algoritma pintar berupaya mengimbas berjuta log data dalam tempoh singkat berbanding kaedah manual.

Menurutnya, AI menjimatkan masa penyiasatan, mengurangkan risiko kesilapan manusia dan memberi ruang pegawai menumpukan perhatian kepada analisis strategik.

"Dalam kes pencerobohan sistem perbankan elektronik, AI dapat mengesan percubaan log masuk mencurigakan dari luar negara hanya dalam tempoh beberapa jam.

"Teknologi itu juga berupaya menapis data besar, mengenal pasti hubungan tersembunyi dan anomali yang sukar dilihat secara manual, sekali gus mempercepatkan pengesanan bukti digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat bertajuk 'Cabaran dan Implikasi AI dalam Forensik Digital' di Simposium Sains Forensik Kebangsaan ke-6 untuk Penguatkuasa Undang-Undang (NAFSLE 2025) yang berlangsung dari 9 hingga 11 September di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Turut hadir, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azman Abdullah; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Adlin Abdul Majid serta pelbagai agensi penguat kuasa.

Wan Zulkifli yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) berkata, AI membantu meningkatkan kualiti imej dan video yang kabur melalui teknik peningkatan imej dan pengecaman corak.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga dapat diperjelas untuk mengenal pasti suspek, menjadikan bukti lebih kukuh di mahkamah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tambahnya, penggunaan AI datang bersama cabaran besar dari sudut teknikal, undang-undang dan etika.

“Kebergantungan sepenuhnya kepada AI tanpa kepakaran manusia boleh menyebabkan kesilapan tafsiran bukti. Selain itu, kos latihan pegawai serta ketiadaan badan pengawal selia khusus juga menjadi kebimbangan,” katanya.

Katanya, di Malaysia, beberapa akta sedia ada menjadi asas kawal selia seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, dan Akta Tandatangan Digital 1997, manakala piawaian antarabangsa seperti ISO/IEC 42001:2023 juga boleh dijadikan panduan memastikan penggunaan AI yang beretika dan telus.

“AI hanyalah alat. Keberkesanannya bergantung kepada kepakaran manusia, integriti etika dan kerangka undang-undang yang kita bina. Jika diurus dengan bijak, AI mampu memperkukuh keadilan serta meningkatkan keselamatan negara,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Kecerdasan buatan (AI) meningkatkan keupayaan siasatan forensik digital dengan keupayaan mengautomasikan analisis dan mengenal pasti pola jenayah
  • Integrasi AI dalam siasatan membolehkan proses dianalisis lebih cekap dengan kemampuan mengimbas berjuta data dalam masa singkat
  • AI menjimatkan masa penyiasatan dan mengurangkan risiko kesilapan manusia, membolehkan pegawai menumpukan pada analisis strategik
  • Teknologi AI berupaya meningkatkan kualiti imej dan video kabur serta mengenal pasti suspek dengan jelas, memperkuat bukti di mahkamah
  • Penggunaan AI membawa cabaran teknikal, undang-undang dan etika serta kebergantungan penuh padanya tanpa kepakaran manusia boleh menyebabkan kesilapan tafsiran bukti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!