NGO tawar urus jenazah dua beradik lemas secara percuma

Dua NGO sedia bantu urus jenazah dua beradik yang lemas di Sungai Linggi selepas tiada waris tampil. Gambar kecil: Shukri Nizam dan Ibrahim.
Dua NGO sedia bantu urus jenazah dua beradik yang lemas di Sungai Linggi selepas tiada waris tampil. Gambar kecil: Shukri Nizam dan Ibrahim.
A
A
A

PORT DICKSON - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpanggil untuk membantu menguruskan jenazah dua beradik yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini pada Khamis lalu selepas mengetahui tiada waris yang hadir menuntut jenazah mereka.

Pengasas Skual Amal Rembau, Ibrahim Hamzah berkata, pasukannya bersiap sedia pada bila-bila masa sekiranya dipanggil bagi menguruskan jenazah kanak-kanak berkenaan.

“Sekitar jam 9.30 pagi tadi, saya ada berhubung dengan pihak pengurusan Hospital Port Dickson untuk mengetahui status dua beradik itu selepas terbaca laporan mengenai ketiadaan waris ketika proses bedah siasat semalam.

“Ramai juga yang minta kami uruskannya dan sekarang dalam keadaan bersiap sedia, hanya menunggu kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, pihak Masjid Tanah Chembong, Rembau turut memaklumkan kesediaan untuk menyediakan tanah perkuburan di Tanah Perkuburan Air Hitam, Chembong sekiranya tiada tanah perkuburan lain disediakan.

Selain itu, pengasas MyKasih Care, Shukri Nizam Jaafar dari Port Dickson turut menyatakan pertubuhan mereka bersiap sedia sekiranya dipanggil bagi menguruskan jenazah berkenaan.

“Kami tengah tunggu arahan daripada pejabat agama, tidak pasti sama ada akan uruskan hari ini atau esok.

“Saya diberitahu bapa mangsa perlu membuat laporan polis manakala ibu mereka yang bukan beragama Islam juga perlu membuat pengesahan,” katanya.

Jelas beliau, kes ketiadaan waris bukanlah perkara baharu dan pertubuhannya pernah mengendalikannya, kebiasaannya melibatkan mualaf.

Artikel Berkaitan:

“Selain jabatan agama, perlu juga ada NGO yang membantu menguruskan jenazah tiada waris kerana ia merupakan tanggungjawab setiap Muslim.

“Keutamaan kita ialah menguruskan jenazah itu dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya akan membantu menguruskan jenazah dua beradik itu selepas mengetahui status agama mereka.

Beliau berkata, pihaknya menerima permohonan daripada polis berhubung status agama mangsa susulan nama mereka dalam dokumen peribadi adalah nama orang Cina.

“Kita sudah buat semakan berhubung status agama dua beradik itu selepas bapanya memaklumkan anaknya telah diislamkan di Kelantan.

“Namun, semakan dengan Jabatan Agama Islam Kelantan mendapati tiada rekod dua beradik itu telah diislamkan, begitu juga rekod di JHEAINS,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!